Pemergian Selvamany satu kehilangan besar pada negara: Sultan Nazrin
IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan titah takziah di atas pemergian tokoh pendidikan, Datuk Seri N S Selvamany.
Selvamany menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 93 tahun di kediamannya di sini Selasa lepas.
Sultan Nazrin bertitah, negara telah kehilangan seorang tokoh terbilang, yang telah mendedikasikan seluruh hidupnya memperjuangkan tahap pendidikan yang lebih baik untuk anak bangsa.
“Kita berasa sangat dukacita di atas pemergian Datuk Seri N S Selvamany yang juga sahabat karib kepada Almarhum ayahanda beta, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah ketika mereka sama-sama bersekolah di Batu Gajah," titahnya.
Baginda turut berharap keluarga mendiang Selvamany diberikan ketenangan dan kedamaian ketika menghadapi detik sukar ini.
Difahamkan upacara sembahyang bekas Tokoh Guru Perak dan Tokoh Guru Kebangsaan itu akan diadakan di rumah mendiang di Persiaran Anderson, di sini Sabtu ini pada jam 9 pagi sebelum upacara membakar mayat diadakan di Kek Look Seah Crematorium di Bercham.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini dan isterinya, Datin Seri Zavirah Shaari juga menyifatkan Selvamany bukan hanya seorang guru tetapi juga seorang sahabat yang memberikan inspirasi kepada generasinya.
“Mendiang juga bapa kepada ramai orang yang mendapat sentuhannya dan dididik sehingga menjadi individu yang dikenali sehingga kini.
“Mendiang bukan sahaja mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada saya, tetapi juga kepada anak-anak saya, Azril dan Alyaa di dalam banyak perkara, pengetahuan yang dimilikinya dan kenangan bersama-sama mendiang tidak akan luput dalam hati kami,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!