Ong Kim Swee tak gugurkan Wan Kuzain

Wan Kuzain (kiri) masih berpeluang menyertai skuad B-23 negara.
Wan Kuzain (kiri) masih berpeluang menyertai skuad B-23 negara.
A
A
A

PENGENDALI skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee tidak menggugurkan nama Wan Kuzain Wan Kamal daripada senarai pemain yang akan menyertai saingan Sukan SEA Filipina, November ini.

Menurutnya, nama Wan Kuzain masih berada dalam perancangannya dan peluang masih terbuka buat pemain Sporting Kansas City itu untuk menyertai pasukan B-23 negara.

Kata Kim Swee, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Wan Kuzain perlu menyelesaikan terlebih dahulu beberapa perkara bagi mengelakkan sebarang masalah timbul apabila pemain itu melaporkan diri.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, masa masih lagi awal dengan Wan Kuzain pun masih bersama kelabnya ketika ini. Kita juga masih cuba menyelesaikan beberapa perkara untuk pastikan tiada masalah apabila Wan Kuzain dipanggil nanti.

“Kemungkinan dia akan hadir pertengahan November atau lebih awal jika segala perkara berkaitan selesai. Tetapi, ia terpulang kepada pihak pengurusan dan saya percaya mereka sedang melakukan yang terbaik,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Kim Swee mengesahkan Wan Kuzain berada dalam senarai pemain yang akan dipanggil menyertai kem latihan pusat bagi menghadapi Sukan SEA di Filipina bulan depan.

Mengulas lanjut, kata Kim Swee, Wan Kuzain masih mempunyai masa memandangkan senarai nama akhir belum muktamad dengan beberapa pemain bawah 19 tahun (B-19) dan dua pemain senior yang akan turut melaporkan diri bulan ini.

“Saya ada tiga fasa pemain yang akan bersama kita. Pertama iaitu pemain yang akan hadir lapor diri Isnin ini sebaik sahaja tamat Piala Malaysia. Fasa kedua ialah lima pemain B-19 yang akan menyertai pasukan selepas tamat kelayakan di Kemboja.

Artikel Berkaitan:

“Manakala, fasa terakhir ialah selepas kelayakkan Piala Dunia dan Piala Asia. Jadi, Wan Kuzain masih boleh menyertai skuad B-23 negara dalam fasa kedua atau ketiga,” katanya.

Terdahulu, Kim Swee telah menyenaraikan 28 pemain untuk menyertai kem latihan pusat bermula Isnin ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!