KBS komited bangun sukan untuk beri peluang kerja kepada belia
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) komited untuk terus membangunkan sektor sukan sebagai antara bidang yang mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini khususnya golongan belia.
Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya mendapati kursus-kursus berasaskan kejurulatihan, kecergasan dan rekreasi serta program keusahawanan mampu menjana pendapatan untuk golongan yang meminati bidang itu.
“Kursus jurulatih kecergasan senamrobik, kursus jurulatih gimnasium dan rekreasi luar yang dianjurkan oleh kementerian sebelum ini berjaya menarik penyertaan sehingga 1,300 orang dan kita dapati mereka dapat menjana pendapatan lumayan hasil pengetahuan yang diperoleh,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, KBS juga meneruskan program lama seperti Youth Career (Y-Career), Youth Business Expo, Facing Up with Social Entrepreneurship (FUSE) serta Program Keusahawanan Belia Bestari selain memperkenal program baharu seperti Program Keusahawanan Digital E-Usahawan 'Young Heroes' untuk memberi pendedahan awal ilmu keusahawanan kepada golongan belia.
Steven turut menjawab celahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) yang mempersoalkan mengapa KBS seolah-olah tidak memberikan perhatian sewajarnya kepada kemudahan sukan dan pembangunan atlet sukan berprestasi tinggi negara.
"Ini tidak benar saya merujuk ucapan Belanjawan 2020 Menteri Kewangan ada disebut peruntukan bajet sebanyak RM299 juta untuk pelaksanaan program sukan termasuklah memulih dan menaik taraf kemudahan sukan melibatkan kompleks belia dan sukan serta kompleks sukan komuniti di seluruh negara.
"Malah ada juga disebut mengenai bajet pembangunan sukan terutama sukan berprestasi tinggi, termasuk peruntukan RM170 juta bagi penyediaan atlet untuk menyertai kejohanan besar seperti Sukan Olimpik.
“Peruntukan bagi penyediaan atlet sukan berprestasi tinggi ini sebenarnya meningkat berbanding 2018 dan jumlah bajet itu sebenarnya mencukupi," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!