Dua sekawan dicekup seludup ketum
PADANG BESAR - Cubaan dua sekawan mengambil kesempatan mencari untung mudah dengan menyeludup daun ketum mengundang padah apabila diberkas dalam Op Wawasan di kawasan ladang pokok jati di sini semalam.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Batalion 2 PGA selepas mengesan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi kira-kira jam 12 tengah hari.
Menurutnya, pacuan empat roda berwarna gelap itu dikesan dalam keadaan mencurigakan memasuki kawasan ladang pokok jati.
"Anggota PGA menghampiri kenderaan terbabit yang dinaiki dua lelaki untuk pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan menemui 20 bungkusan guni berwarna putih yang mengandungi daun ketum seberat 556 kilogram dianggarkan bernilai RM114,900," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, dua lelaki berusia 24 dan 37 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua mereka dipercayai aktif menyeludup daun ketum melalui pagar sempadan.
"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti tempoh pembabitan suspek dalam kegiatan penyeludupan. Kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun," katanya.
Abdul Ghani berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi sebagai usaha membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang khususnya membabitkan penyeludupan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!