Wanita maut dipanah petir
PEKAN - Seorang pesara Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) maut dipanah petir ketika berada di belakang rumahnya di Kampung Baru Permatang Pauh di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Yusof berkata, mangsa Nor Habibi Hasan, 50, ditemui anaknya Ahmad Baihaqi Abdul Hamid, 17, dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 4.30 petang ketika hujan lebat.
"Anak mangsa membawa ibunya ke dalam rumah dan menghubungi ambulans sebelum kakitangan perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya kepada media di sini hari ini.
Mohd Razali berkata, bedah siasat yang dilakukan di Hospital Pekan juga mengesahkan sebab kematian mangsa adalah kerana dipanah petir.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!