Pemandu treler bebas dengan jaminan polis
KUALA KANGSAR - Pemandu treler membawa muatan tiang konkrit yang terjatuh atas lebuh raya berhampiran Terowong Menora hingga mengorbankan dua nyawa, Rabu lalu dibebaskan dengan jaminan polis.
Lelaki berusia 41 tahun itu sebelum ini ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak arah utara susulan kemalangan yang berlaku di Kilometer 256.1 Lebuhraya Utara Selatan itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, lelaki itu dibebaskan sebaik keterangan direkodkan.
"Lelaki itu telah dibebaskan dengan jaminan, tiada reman dikenakan. Ujian air kencing ke atas pemandu treler berkenaan juga didapati negatif," katanya.
Dalam nahas kira-kira jam 9.30 malam itu, pemandu Honda City, Leong Woei Ser, 34, dan penumpang, Cheah Kim Seng, 60, maut di tempat kejadian selepas muatan tiang konkrit terpelanting menghempap kenderaan mangsa.
Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca apabila treler membawa 18 tiang konkrit itu mengalami masalah brek tidak berfungsi ketika menuruni bukit menyebabkan kenderaan berat itu hilang kawalan.
Kejadian turut mengakibatkan enam kenderaan lain rosak dan menyebabkan kedua-dua laluan arah utara serta selatan ditutup.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua maut langgar tiang konkrit jatuh atas jalan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!