MU mula pamer karakter sebenar
PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan anak buahnya telah menunjukkan karakter sebenar mereka selepas The Red Devils menewaskan Chelsea 2-1 dalam aksi Piala Liga Inggeris di Stamford Bridge malam semalam.
Kejayaan itu turut menyaksikan United berjaya menyekat Chelsea mara ke suku akhir menerusi dua jaringan yang disempurnakan Marcus Rashford manakala gol saguhati The Blues dijaringkan oleh Michy Batshuayi.
Solskjaer yang nyata gembira dengan kemenangan itu turut memberi pujian kepada para pemainnya sambil mengakui memenangi perlawanan adalah salah satu cara mereka menunjukkan watak sebenar pasukan.
"Kami telah mengharungi banyak perlawanan minggu lalu dan pemain telah menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi. Kemenangan ini juga telah menunjukkan watak pasukan.
"Sebelum ini kami mempunyai peluang untuk meraih kemenangan setelah mendahului kedudukan dalam beberapa perlawanan tetapi kami gagal untuk mengakhiri dengan kemenangan.
"Hari ini (malam semalam) kami bermain luar biasa, dengan memperagakan corak permainan yang pantas. Ini barulah Manchester United yang sebenar dan cuba untuk kembali kepada aksi sebenar kami." katanya
Pada masa yang sama, Solskjaer turut memuji Rashford selepas muncul sebagai wira pasukan sekali gus menjadi suntikan moral buat The Red Devils untuk bertemu Bournemouth di Dean Court dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam nanti.
"Marcus mempunyai sepakan yang baik dan saya telah melihatnya beberapa kali ketika sesi latihan. Apabila anda memberi pendedahan kepada pemain muda ia akan membantu perkembangan mereka, begitu juga dengan aksi Brandon Williams.
"Walaupun kami belum sempurna tetapi kami akan terus memperbaiki diri dari satu perlawanan ke satu perlawanan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!