Lelaki maut, rakan wanita parah
TAIPING - Seorang penunggang motosikal maut manakala pembonceng yang juga rakannya cedera parah selepas motosikal yang ditunggang secara melawan arus bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) pagi tadi.
Dalam kejadian di Kilometer 6, Jalan Kuala Sepetang-Taiping kira-kira jam 7.35 pagi itu, Zamzuri Othman, 30, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Nursyahidatul Azwa Mansor dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal secara melawan arus di laluan Taiping menghala ke Kuala Sepetang.
Menurutnya, pemandu MPV jenis Toyota Vellfire berusia 31 tahun yang berada di laluan itu tidak sempat mengelak menyebabkan dua kenderaan itu bertembung.
"Akibatnya, penunggang dan pembonceng motosikal cedera parah. Penunggang bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng dan pemandu MPV dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!