Tabung Wira Merah kumpul RM393,802
PUTRAJAYA - Tabung Wira Merah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk enam anggota bomba yang terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Lombong Taman Putra Perdana Puchong, Selangor pada 3 Oktober lepas berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM393,802.
Tabung Wira Merah JBPM itu dilancarkan pada 9 Oktober hingga 31 Disember 2018.
“JBPM mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai yang banyak menghulurkan sumbangan,” kata JBPM dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 3 Oktober lepas, enam anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) lemas ketika operasi mencari seorang remaja lemas di lombong Taman Putra Perdana Puchong.
Mereka ialah Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!