Teknologi pengecaman wajah atasi jenayah
MINGGU lalu peminat bola sepak Malaysia kecoh rentetan pertembungan empat pasukan untuk merebut tempat ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2019. Namun, penulis lebih tercuit dengan kiriman WhatsApp seorang bekas penulis bola sepak tersohor suatu ketika dahulu, yang menceritakan tentang insiden kekecohan berlaku sebelum pertembungan Swansea City menentang Cardiff City.
Rakan penulis itu bercerita tentang tindakan polis menggunakan teknologi pengecaman wajah atau 'facial recognition technology' bagi mengenal pasti penyokong yang mempunyai rekod jenayah silam sekali gus menyekat mereka daripada memasuki Liberty Stadium.
Menerusi akaun Twitter @swpolice bertarikh 27 Oktober 2019, Jabatan Polis South Wales secara rasmi memaklumkan peminat bola sepak England tentang penggunaan teknologi berkenaan yang dikenal pasti boleh menghalang samseng bola sepak (hooligan) daripada membuat onar di dalam sesebuah stadium. Laporan dari England itu menyebut penggunaan teknologi pengecaman wajah ialah sebahagian daripada pelan pemantauan bertujuan memastikan perlawanan Swansea City dan Cardiff City berjalan lancar.
Sebenarnya, teknologi pengecaman wajah telahpun disebut ALLAH SWT dalam surah Al-Qiyaamah yang menyingkap bahawa wajah ialah sumber pengenalan diri yang maksudnya, “Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri; Kepada Tuhannya lah mereka melihat; Dan wajah-wajah (orang kafir) pada hari itu muram.”
Sistem pengenalan wajah ialah teknologi yang mampu mengenal pasti atau mengesahkan seseorang daripada lantunan imej digital sumber video. Ada banyak kaedah untuk melaksanakan sistem pengecaman wajah atau pengiktirafan muka berfungsi. Sistem ini berfungsi dengan membandingkan ciri-ciri wajah terpilih berdasarkan imej yang diberikan dengan muka tersedia dalam pangkalan data. Ia menggunakan aplikasi Artificial Intelligence (AI) yang secara unik mampu mengenal pasti seseorang dengan menganalisis corak berdasarkan tekstur dan bentuk wajah seseorang.
Aplikasi teknologi pengecaman wajah melibatkan interaksi manusia dengan komputer secara kompleks, pengawasan video dan pengindeksan imej secara automatik di dalam pangkalan data video.
Malah ketika ini, pihak berkuasa tempatan Xinjiang, China telah menguji menggunakan teknologi pengecaman wajah sejak 2017 bagi mencari suspek yang dilaporkan sesat daripada rumah atau pejabat. Sistem berkenaan berfungsi dengan membandingkan ciri-ciri wajah terpilih daripada imej yang ada dalam pangkalan big data.
Ia juga digelar aplikasi Artificial Biometric Intelligence yang secara unik dapat mengenal pasti seseorang dengan menganalisis corak berdasarkan tekstur dan bentuk wajah orang itu. Laporan berkenaan menyebut teknologi pengenalan wajah mula dirintis tiga sahabat iaitu Woody Bledsoe, Charles Bisson dan Helen Chan Wolf yang bertugas di Stanford Research Institute (SRI), Amerika Syarikat. Selama dua tahun bermula 1964, mereka berjaya mencipta sistem pengkomputeran mampu-kenal wajah manusia.
Namun, sistem berkenaan ada kaitannya dengan teknologi dicipta Muḥammad ibn Musa al-Khwarizmi (Al-Khwarizmi) pada 820 SM yang mencipta sistem algoritma berasaskan nombor `0’ dan '1' iaitu asas kepada teknologi digital. Bledsoe dan rakan-rakannya seterusnya mencipta sistem aplikasi komputer dengan melihat secara melebar dan mendalam (wide and deep) pada platform mudah alih ke dalam bentuk teknologi berasaskan AI.
Tetap ada masalah
Penggunaan Algoritma Al-Khwarizmi ini juga digunakan sebagai sistem pengiktirafan yang popular termasuk analisis komponen utama menggunakan eigenfaces, linear discriminant analysis, padanan graf kumpulan elastik menggunakan algoritma Fisherface, model Markov tersembunyi, pembelajaran subspace multilinear menggunakan perwakilan tensor dan pemadanan pautan dinamik bermotivasi neuron.
Bagaimanapun, teknologi pengecaman wajah tetap ada masalahnya. Ralph Gross, seorang penyelidik di Institut Robotics Carnegie Mellon (IRCM) menyatakan ada halangan berkaitan sudut tontonan teknologi pengiktirafan wajah walaupun telah mendapat kejayaan cukup baik pada muka hadapan penuh sehingga 20 darjah maksimum.
Gross membuktikan sebaik sahaja wajah itu beralih melebihi sudut profil muka, ia menghadapi masalah pengiktirafan atau unrecognized face. Ini kerana imej resolusi muka sangat rendah dan sangat sukar untuk mengimitasi muka yang dicam berdasarkan sistem pengawasan data.
Jelas sekali sebijak mana sekalipun manusia, ALLAH tetap Maha Berkuasa. ALLAH berfirman dalam surah Yasin bermaksud ‘hai manusia’, ayat [36:65] menerangkan, “Pada hari ini Kami kunci mulut-mulut mereka; tetapi tangan-tangan mereka berkata-kata dengan Kami dan kaki-kaki mereka menyaksikan apa yang mereka usahakan (lakukan).”
Daripada catatan ayat di atas, manusia telah mampu mengkaji dan menjadikan tubuh badan manusia sebagai bahan sumber data deria atau sensor pengenalan diri melalui sistem teknologi pengecaman.
Akan tetapi setiap anggota badan manusia mampu saksi kepada perbuatan baik atau jahat sebagaimana firman ALLAH dalam Surah Ar-Rahmaan [55:41] bermaksud, “Dikenal orang-orang yang berdosa itu dari tanda-tanda mereka, lalu dipegang (mereka) dari ubun-ubun dan kaki-kaki (mereka).”
Penulis percaya teknologi pengecaman wajah sebenarnya boleh membantu menyelesaikan pelbagai masalah khususnya yang berkaitan jenayah. Penulis berharap lebih ramai penyelidik meneroka bidang ini dengan segera.
*Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!