Cubaan curi ikan di dalam sangkar gagal
HULU TERENGGANU- Cubaan seorang lelaki mencuri ikan di dalam sangkar gagal selepas ditahan pemilik sangkar ikan terbabit di Sungai Kampung Tanggol, Ajil, di sini kelmarin.
Ketika kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, pemilik sangkar ikan, 34, yang dalam perjalanan ke lokasi ditemani abang iparnya menyedari kehadiran lelaki berusia 30-an di kawasan kebun berhampiran.
Menurut sumber, pemilik sangkar itu bagaimanapun tidak menghiraukan kehadiran individu yang tidak dikenali itu kerana tidak mengesyaki sesuatu.
"Sejurus ternampak mangsa, suspek terus melarikan diri sebelum terjun ke dalam sungai berhampiran.
"Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan keluar dari kawasan sangkar ikan itu, pemilik sangkar berkenaan terserempak dengan suspek sebelum dimaklumkan yang dia sedang menunggu kawan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas sumber, mangsa mula curiga melihat gelagat suspek kerana mengesyaki cuba mencuri ikannya dan terus bertindak menangkap lelaki itu sebelum menghubungi polis.
Sementara itu, Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama kerana cubaan mencuri ikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!