Ribut tropika Pabuk badai Thailand
BANGKOK - THAILAND. Ribut tropika pertama di Thailand dalam tempoh tiga dekad yang membawa angin kencang berkelajuan 80 kilometer sejam dijangka membadai, negara itu, hari ini.
Ribut tropika Pabuk yang mencetuskan ombak tinggi dan angin kencang di Teluk Thailand itu diramalkan tiba di wilayah selatan Nakhon Si Thammarat.
Pegawai kaji cuaca telah memberi amaran hujan lebat dan angin kencang di 15 wilayah di selatan negara itu yang menempatkan ladang getah asli terbesar di dunia dan beberapa pulau tumpuan pelancong.
"Angin kuat dengan gelombang setinggi 3 hingga 5 meter diramalkan di teluk itu dan 2 hingga 3 meter di Laut Andaman," kata Jabatan Meteorologi Thailand dalam satu kenyataan.
Keadaan itu dijangka berterusan sehingga esok.
Sejak beberapa hari lalu, 6,176 penduduk dari Nakhon Si Thammarat dan wilayah Pattani, Songkhla dan Yala telah dipindahkan.
Lapangan Tebang Nakhon Si Thammarat turut ditutup selain syarikat penerbangan tambang murah, Nok Airlines membatalkan lapan penerbangan dari dan ke wilayah itu.
Terdahulu, Bangkok Airways turut mengumumkan pembatalan kesemua penerbangan ke dan dari destinasi percutian, Koh Samui di mana perkhidmatan feri juga digantung sebagai langkah berjaga-jaga. - Reuters
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!