Lelaki Yemen mengaku tak salah langgar peragut

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang perekrut pelajar warga Yemen dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang peragut, yang meragut begnya semasa sedang minum di sebuah restoran, dua tahun lalu.

Mohammed Shawqi Ahmed Zawqari, 27, yang telah direman selama tujuh hari pada Julai 2017 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret Mohd Nor Hafidzuddin Yusoff.

Lelaki itu didakwa memandu sebuah kenderaan jenis Proton Preve dengan cara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian Mohamad Azizi Abdul Azis, 25, di hadapan bangunan One South, Seri Kembangan, di sini, pada 2.51 pagi, 30 Julai 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda yang boleh sampai RM20,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Rahmat Hazlan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia ekoran kes itu.

"Anak guam saya kini berada di Malaysia atas visa pelajar. Dia juga telah berkahwin dan isterinya hadir sebagai penjamin hari ini, tiada sebarang risiko untuk dia melarikan diri kerana pasportnya telah disenarai hitam," katanya.

Mohd Nor Hafidzuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain lesen antarabangsanya digantung sehingga kes selesai.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 11 Februari untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan, semasa tertuduh sedang minum di sebuah restoran, begnya diragut mangsa yang kemudiannya melarikan diri dengan sebuah motosikal. - Bernama



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!