RM11.96 juta insentif untuk empat golongan
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM11.96 juta untuk meneruskan pemberian insentif kepada golongan petani, nelayan, pesawah dan penternak di Selangor tahun depan.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, sejumlah RM9.15 juta diperuntukkan untuk pemberian bantuan berbentuk peralatan, input pertanian, kerja-kerja awalan tanah dan benih tanaman kepada pengusaha tanaman.
Menurutnya, ia akan memberikan manfaat kepada seramai 3,000 petani dan pesawah.
“Dalam bidang penternakan pula, bantuan berbentuk pemberian induk ternakan, mesin memproses makanan ternakan dan menaik taraf kandang ternakan serta peralatan pemprosesan produk industri asas tani disediakan dengan jumlah dana sebanyak RM1.91 juta.
“Bagi nelayan, bantuan berbentuk peralatan yang boleh meningkatkan hasil tangkapan seperti sonar pencari ikan, GPS dan jaring ikan akan diberikan.
“Bagi bidang akuakultur pula, bantuan yang diberikan adalah peralatan untuk penternakan ikan seperti tangki, pam boleh tenggelam, pengayuh dan benih ikan. Jumlah keseluruhan peruntukan ialah RM900,000,” katanya ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2020 hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!