Pakar onkologi negara kurang

Boon Chye melawat pameran yang disediakan pada Kongres Tahunan Saintifik Persatuan Onkologi Malaysia Ke-31 (ASCOMOS) 2019 hari ini.
Boon Chye melawat pameran yang disediakan pada Kongres Tahunan Saintifik Persatuan Onkologi Malaysia Ke-31 (ASCOMOS) 2019 hari ini.
A
A
A

IPOH - Lebih 200 pakar onkologi diperlukan bagi menampung keperluan merawat lebih 44,000 pesakit kanser seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, setakat ini, negara mempunyai 115 pakar onkologi yang bertugas dan ia tidak mencukupi bagi menampung keperluan itu.

"Pakar onkologi yang ada sekarang tidak mencukupi dan kita perlukan lebih 200 pakar.

"Kita menggalakkan para doktor menguasai kepakaran dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat master (ijazah sarjana) di universiti tempatan atau menjalani program dalam bidang kepakaran tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Tahunan Saintifik Persatuan Onkologi Malaysia Ke-31 (ASCOMOS) 2019 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini hari ini.

Data 2018 menunjukkan lebih 26,000 rakyat mati akibat kanser dan sejumlah 7,593 kes kanser payudara dilaporkan menjadi ancaman nombor satu kepada wanita Malaysia.

Menjelang 2030, bilangan kes kanser baharu dijangka mencecah 55,000 kes setiap tahun berbanding 44,000 pada 2018.

Boon Chye berkata, 60 peratus pesakit kanser lewat dikesan iaitu berada di tahap tiga atau empat berikutan gagal melakukan saringan secara berkala.

"Kebanyakan kanser tahap satu, peluang untuk pulih sangat tinggi. Kita harapkan rakyat dapat manfaatkan kemudahan di hospital, klinik kesihatan atau klinik swasta untuk lakukan saringan seperti mamogram, pap smear atau kanser kolorektal.

Artikel Berkaitan:

"Kepada penerima bantuan sara hidup yang berusia 40 tahun ke atas boleh sertai program B40 untuk saringan bersama faedah lain seperti bantuan alat perubatan, melengkapi rawatan dan pengangkutan untuk dapatkan rawatan," katanya.

Boon Chye berkata, 30 peratus kanser berpunca daripada gaya hidup rakyat termasuk corak pemakanan, kurang bersenam, lebihan berat badan serta penggunaan rokok dan alkohol.

"Faktor ini boleh diubah dan kerajaan turut membantu menerusi vaksin seperti Hepatitis B dan virus papiloma manusia (HPV)," katanya.

Boon Chye melawat pameran yang disediakan pada Kongres Tahunan Saintifik Persatuan Onkologi Malaysia Ke-31 (ASCOMOS) 2019 hari ini.
Boon Chye melawat pameran yang disediakan pada Kongres Tahunan Saintifik Persatuan Onkologi Malaysia Ke-31 (ASCOMOS) 2019 hari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!