Hendak gelak atau menangis
BERCAMPUR baur juga perasaan apabila Bank Negara mendedahkan bahawa rakyat tidak mampu untuk membeli rumah. Entah hendak menangis atau hendak gelak? Ataupun hendak menghantukkan sahaja kepala ke dinding.
Laporan Sinar Harian pada 24 Oktober lalu mendedahkan piawaian standard antarabangsa menggunakan median multiple: harga rumah yang mampu adalah berdasarkan kepada pendapatan setahun didarabkan dengan tiga.
Justeru, merujuk pula data 2016 pada kadar 4.4 berbanding pada 2012 iaitu 3.9 menunjukkan kadar ketidakmampuan rakyat adalah semakin meningkat.
Tahun 2019 tidak ada disebutkan tetapi mengikut pengiraannya iaitu median harga rumah berbanding pendapatan kasar tahunan sebelum cukai, mungkin ketidakmampuannya semakin meningkat.
Sekali lagi saya tertanya-tanya apakah penyelesaian yang boleh diambil jika begini keadaannya. Semakin hari kadar kos sara hidup meningkat disebabkan pemilikan rumah juga dimasukkan dalam kiraan kos untuk pendapatan isi rumah.
Perkara itu dibicarakan sejak 2016. Itu pun yang sempat saya selidik. Maka, jadilah kita jenis-jenis yang bercakap-cakap sahaja. Dapat data, kemudian buat kenyataan itu ini begitu begini setiap tahun sampailah sudah hendak masuk tahun 2020.
Pada 2018 ada berita yang tersiar dengan tajuk Bank Negara akui rumah di Malaysia sangat tidak mampu milik. Ada tiga sebab yang diberi akan berlakunya ketidakmampuan membeli rumah.
Yang pertama adalah ketidakpadanan bekalan dan permintaan menyebabkan kediaman yang tidak terjual semakin meningkat. Ia menimbulkan pertanyaan, bukankah setiap permohonan untuk membina rumah perlukan kebenaran Jabatan Perumahan Negara?
Sebab musabab kedua pula adalah lebih banyak rumah dibina pada harga tidak mampu milik dan sebab ketiga, peningkatan pendapatan rakyat Malaysia yang perlahan.
Untuk pengetahuan semua, pada 2015 ada kenyataan mengenai ketidakmampuan memiliki rumah. Pada 2016 pun ada dibangkitkan juga. Hampir setiap tahun ada sahaja yang bercakap tentangnya.
Ini bermakna sepanjang carian yang saya buat setakat termampu sejak 2015 sehingga sekarang, sudah dan masih lagi kita berbicara tentang isu itu.
Sekali lagi saya tidak tahu hendak menangis, gelak atau hendak menghantuk sahaja kepala ke dinding. Diberitakan juga pada 2018, Bank Negara ada memberi cadangan penyelesaian yang boleh diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Katanya, ada lima dasar yang boleh diambil iaitu pertama, pemusatan inisiatif rumah mampu milik. Kedua, mewujudkan pangkalan data perumahan dan daftar pemohon diurus dengan cekap. Ketiga adalah mengurangkan kos pembinaan, manakala yang keempat, memulihkan kedudukan kewangan isi rumah. Kelima dengan mengukuhkan pasaran rumah sewa.
Pertanyaan saya lagi, tidak tahulah ia dilaksanakan atau tidak? Tahun ini masih ada kenyataan mengatakan permasalahan ketidakmampuan untuk memiliki rumah. Sekali lagi saya tidak tahu hendak menangis, gelak atau hantuk kepala ke dinding.
Sebelum ini, saya ada juga menulis mengenai permasalahan untuk memiliki rumah. Saya menulis kisah dua orang jejaka kacak iaitu jejaka yang pertama sudah membeli rumah dan jejaka yang kedua sedang berhempas-pulas hendak membeli rumah. Jejaka pertama telah membeli rumah dan bertahun-tahun tinggal di rumah tersebut. Bayaran sebulan rumahnya dahulu sekitar RM800 sahaja. Kemudian, bank menggunakan klausa dalam perjanjian rumah untuk menaikkan kadar bunga.
Maka, bayaran bulanannya meningkat kepada lebih kurang RM1,000. Maka, jejaka tersebut berjumpa dengan pihak bank untuk dibawa berbincang, namun gagal.
Bank tetap dengan pendiriannya sedangkan jejaka kacak itu dengan gaji sudah lima tahun tidak pernah naik tidak dapat membayarnya sebagaimana dikehendaki oleh bank. Sekarang beliau sedang menunggu rumahnya untuk dilelong.
Jejaka kacak yang kedua masih bujang dan bercadang membeli rumah, namun gajinya tidak layak untuk membeli rumah PPRT dan juga rumah biasa yang lain.
Katanya, untuk membeli rumah, pendapatannya perlu digabungkan dengan orang lain untuk layak. Maka, sekarang beliau sedang bertungkus-lumus mencari calon isteri. Sasaran calonnya ialah cikgu. Saya harap beliau berjaya.
*Faisal Muhamad ialah jurutera kanak di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!