Dilema Cina di Tanjung Piai

A
A
A

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai akan membuka gelanggangnya hari ini. Bagi Pakatan Harapan (PH), ia sudah bersedia lebih awal apabila Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai, Karmaine Sardini telah diumumkan sebagai calon PH.

Keistimewaan PRK Tanjung Piai ini sudah tentu apabila jangkaan awal pertandingan dua penjuru antara PH dan BN tidak akan berlaku. Bekas sekutu lama dalam BN, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengumumkan Naib Ketua Wanitanya, Wendy Subramaniam sebagai calon parti itu bertanding dalam PRK tersebut.

Yang paling ditunggu-tunggu sudah tentu BN. Kelewatan mengumumkan bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai selama tiga penggal, Wee Jeck Seng daripada MCA sebagai calon mereka sememangnya mengundang banyak persoalan.Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan bayangan bahawa UMNO akan bertanding di Tanjung Piai. Beliau turut meminta MCA untuk berlapang dada sepertimana MIC ketika PRK Cameron Highlands Januari lalu. Tapi nampaknya BN masih betah dengan tradisi setiakawan dengan memilih MCA untuk Tanjung Piai.

Memang ada bagusnya MCA dikekalkan bertanding di situ. Demografi seimbang antara pengundi Melayu (52 peratus) dan Cina (46 peratus) barangkali antara perkiraan awal BN dalam keputusan itu. Dengan sentimen dan isu semasa, BN dilihat mempunyai kelebihan tetapi yang perlu dirisaukan sudah tentu apabila BN meletakkan calon MCA (baca: Cina), dikhuatiri ini memecahkan undi pengundi Melayu.

Mengapa begitu? Kalau dilihat, BN hanya memikat pengundi Melayu-Islam menerusi permuafakatan UMNO-Pas. Kemenangan di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau adalah hasil daripada itu. Tambahan pula situasi sekarang menyaksikan orang Melayu tidak selesa dan gembira dengan isu-isu Melayu-Islam yang terganggu dan terancam di bawah kerajaan PH.

Sudah tentu yang paling besar di antara semua ialah tindakan DAP yang agresif, terburu-buru dan melampaui batas, tidak selari dengan kehendak dan sifat orang Melayu sebagai majoriti di negara ini.

Kegagalan PH untuk mengikis persepsi ‘DAP ialah PH, PH ialah DAP’ dalam kalangan orang Melayu sehingga kini menjadi beban buat PH setiap kali PRK. DAP sering menjadi ‘kambing hitam’ oleh UMNO-Pas dalam setiap kempen dan ceramah politik.

Setiap kali itulah juga PH gagal menangkis dan menjawab serangan terhadap DAP.

Artikel Berkaitan:

Sungguhpun begitu, ia tidak sekadar berlaku kepada DAP ataupun PH sahaja. Dilihat, ia sudah merebak kepada pertentangan antara Melayu vs bukan Melayu. Sebab itu ada kekhuatiran yang tindakan memasang calon MCA di Tanjung Piai akan backfire kepada BN. Takut tindakan itu akan digunakan oleh pihak lawan untuk mengecil-ngecilkan BN terutamanya UMNO.

Sentimen

Malah, dengan sentimen semasa, dikhuatiri pengundi setia BN dalam kalangan orang Melayu enggan memangkah MCA disebabkan calon itu berketurunan Cina dan empat kali bertanding di sana.Tentangan terhadap perkara itu memang acap didengar. Terkini, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Jefridin Atan menolak calon MCA dengan alasan BN kalah di situ pada PRU14 disebabkan MCA enggan menyerahkan kawasan itu kepada UMNO.

Menurut beliau, ramai pengundi Melayu tidak mengundi BN sebaliknya mengundi Dr Md Farid Md Rafik atas sentimen Melayu.Malah, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dalam penulisannya di BEBASnews bersependapat dengan pandangan Jefridin itu.

Yang pasti nampaknya BN, terutama UMNO, masih berani mempertaruhkan nasib dengan tidak meletakkan calon Melayu tatkala permuafakatan UMNO-Pas sedang membina momentum yang baik sebagai lawan ampuh kepada PH.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!