Polis minta enam pelajar terlibat gaduh di Lahad Datu serah diri
LAHAD DATU - Polis hari ini meminta enam remaja perempuan yang terlibat dalam pergaduhan di tepi padang bandaran di sini, pada Khamis lepas dan masih bebas agar menyerah diri bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, kesemua remaja tersebut menyembunyikan diri dan tidak berada di rumah masing-masing.
"Keenam-enam remaja ini bertindak melarikan diri dari rumah dan mereka tidak lagi bersekolah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Khamis lalu, polis menahan tujuh daripada 13 remaja perempuan berusia antara 14 hingga 17 tahun dari Kampung Panji dan Kampung Pisang di sini selepas terlibat dalam pergaduhan di tepi padang bandaran Lahad Datu, pada hari yang sama.
Kejadian pada 2 petang itu berpunca ekoran tuduhan kesat dimulakan kumpulan remaja dari Kampung Pisang terhadap kumpulan remaja Kampung Pisang.
Sementara itu, Nasri berkata, polis turut memburu dua lelaki terlibat dalam samun bersenjata di kedai runcit 24 jam di Bandar Wilayah di sini, pada Khamis lalu.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu katanya, salah seorang suspek yang melulu masuk ke kedai berkenaan mengacu pisau ke leher seorang mangsa lelaki berusia 33 tahun serta merampas telefon milik mangsa, manakala seorang lagi suspek telah mengambil wang tunai dianggarkan RM500 daripada laci kaunter kedai," katanya dan kejadian itu dirakam kamera litar tertutup di kedai berkenaan.
Berdasarkan keterangan mangsa, Nasri berkata, seorang suspek menggunakan topi dan berbaju lengan panjang berwarna coklat berketinggian lebih kurang 165 sentimeter (cm) serta berbadan kurus, manakala seorang lagi suspek menggunakan baju lengan pendek hitam berketinggian 160cm dan berisi badannya serta menggunakan kain hitam bagi menutup bahagian mukanya. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:
Tuduhan-selalu-keluar-masuk-hotel-punca-13-remaja-bergaduh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!