Rumah tenggelam, banjir kilat landa Gua Musang

Norizan tidak sempat menyelamatkan harta benda apabila sekelip mata sahaja rumahnya dinaiki air. Lebih 10 buah rumah di Kampung Tanah Putih dan Kampung Lepan Jaya, di sini ditenggelami air akibat banjir kilat
Norizan tidak sempat menyelamatkan harta benda apabila sekelip mata sahaja rumahnya dinaiki air. Lebih 10 buah rumah di Kampung Tanah Putih dan Kampung Lepan Jaya, di sini ditenggelami air akibat banjir kilat
A
A
A

GUA MUSANG - Lebih 10 buah rumah di Kampung Tanah Putih dan Kampung Lepan Jaya, di sini ditenggelami air akibat banjir kilat selepas hujan berlarutan lebih satu jam bermula 8.30 malam tadi.

Salah seorang mangsa, Siti Nor Asmadiana Aziz, 22, ketika menceritakan detik mencemaskan itu berkata, sewaktu kejadian, dia tiada di rumah kerana berada di rumah datuknya di kawasan berhampiran.

Menurutnya, untuk tahun ini, sudah lebih tiga kali rumahnya dinaiki air kerana banjir kilat, namun kali ini, air lebih cepat tanpa sempat menyelamatkan harta benda.

Keadaan perabot yang ditenggelami air.
Keadaan perabot yang ditenggelami air.

"Ketika kejadian, hanya ada tiga orang di rumah iaitu ibu, Norizan Awang, 48, kakak dan anak saudara saya. Bapa saya pergi tahlil ke rumah berdekatan.

"Saya pula berada di rumah datuk kerana menziarahinya. Saya turun dari rumah lebih kurang jam 8.30 malam, namun pada jam 9.30 malam, kakak saya memberitahu rumah sudah dinaiki air.

"Mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda dan ibu saya perlu mengharung air paras pinggang untuk keluar dari rumah," katanya.

Asmadiana berkata, kediamannya berada berdekatan dengan sungai dan air lebih cepat memasuki rumah mungkin kerana kerja-kerja pembinaan jalan di hadapan rumahnya.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak pasti adakah berpunca daripada saliran air yang tersumbat atau sebaliknya kerana sebelum ini, hujan berlarutan hampir tiga jam baharulah air memasuki ruangan rumah.

"Buat masa ini (11.20 malam), air masih belum surut dan keluarga saya berada di dalam van di kawasan yang lebih tinggi untuk menyelamatkan diri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!