65 peratus penduduk Selangor bakal nikmati air percuma
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan Selangor menyasarkan 65 peratus daripada 1.2 juta penduduk Selangor bakal menerima manfaat Skim Air Darul Ehsan bermula 1 Mac depan.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, angka tersebut mampu dicapai sekiranya pemohon yang memenuhi syarat membuat pendaftaran permohonan di bawah skim 20 meter padu air percuma itu.
"Skim ini sama seperti program sebelum ini, cuma namanya yang ditukar dan menumpukan golongan sasar B40 dan yang berpendapatan bawah RM4,000.
"Program pemberian 20 meter padu air percuma dibiayai secara perkongsian dengan Air Selangor. Konsep ini membolehkan peruntukan negeri untuk pembangunan lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Belanjawan Selangor 2020 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini semalam.
Dalam perkembangan sama menurutnya, kerajaan negeri mengenal pasti sumber baharu air mentah yang boleh dibangunkan sebagai sumber bekalan air bagi menampung permintaan sehingga tahun 2060.
"Kerajaan negeri lantik perunding untuk membuat kajian terperinci bermula 1 Oktober lalu dan selesai pada 30 September depan bagi pelaksanaan Pembangunan Loji Rawatan Air Sungai Rasau yang dijangka boleh mengeluarkan air terawat berjumlah 500 Juta Liter per Hari (JLH).
"Kerajaan negeri turut menyediakan menyediakan peruntukan sebanyak RM116.5 juta bagi pembangunan bekalan air yang merangkumi antaranya pelaksanaan Projek Labohan Dagang Fasa 2," katanya.
Katanya, kerajaan negeri turut merancang penggantian paip sepanjang 150 kilometer yang dianggarkan akan menelan belanja sebanyak RM124 juta tahun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!