Pengiktirafan UEC perlu ambil kira sensitiviti semua kaum
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan cadangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) perlu mengambil kira sensitiviti semua kaum dan bukan hanya kelompok tertentu sahaja.
Beliau berkata kerajaan sentiasa peka dan sensitif terhadap semua kaum dalam negara untuk memastikan rakyat terus memberikan sokongan.
“Saya tak kata saya tolak (UEC). Saya cuma kata ada sensitiviti dalam kalangan orang Melayu dalam perkara ni dan kita ambil kira semua sensitiviti termasuk orang Cina, orang India, Orang Asli dan lain-lain kaum di Malaysia.
“Kalau kita tidak sensitif, maka kita tidak akan menang dalam mendapat sokongan rakyat. Kalau saya kata orang Melayu sensitif berkenaan perkara ini, tidak bermakna saya tidak sensitif terhadap orang lain,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini, hari ini.
Dr Mahathir berkata laporan media terhadap kenyataannya berhubung UEC sebelum ini tidak tepat dan tidak seperti apa yang dikatakan beliau.
Rabu lepas, beberapa media tempatan memetik laporan akhbar berbahasa Cina yang melaporkan Perdana Menteri mahu perasaan orang Melayu turut dipertimbangkan sebelum UEC diiktiraf.
“Saya selalu bila diminta oleh akhbar untuk mengadakan temu bual, saya tidak pernah tolak... tetapi kadang-kadang saya dapati ia tidak seperti apa yang saya katakan,” katanya.
Dr Mahathir turut mengingatkan media supaya membuat laporan yang benar dan tepat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!