Wangian Rosa harumkan nama Terengganu

Kumpulan pengajar ini muncul johan pada IDEA ’19 yang telah diadakan di IKBN Seri Iskandar, Perak baru-baru ini.
Kumpulan pengajar ini muncul johan pada IDEA ’19 yang telah diadakan di IKBN Seri Iskandar, Perak baru-baru ini.
A
A
A

KEMAMAN - Pengajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, Kemaman sekali lagi berjaya mengharumkan nama Terengganu dengan produk inovasi khas wangian ciptaan mereka, ‘Room Sensation Apps’ (Rosa).

Terbaharu, kumpulan pengajar itu dianugerahkan pingat emas, sekali gus dinobatkan sebagai johan bagi Bidang Teknologi Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Telekomunikasi pada pertandingan ‘Innovation Development Through Educational Activities – IDEA’19’ yang telah diadakan IKBN Seri Iskandar, Perak baru-baru ini.

Pengarah IKBN Kemasik, Norlia Abdullah berkata, Rosa adalah produk inovasi dari Jabatan Perhotelan IKBN Kemasik, melibatkan Zul Afendi Abdullah yang bertindak sebagai penasihat dan Badrul Hafidz Abd Rahim, Shamsuddin Amin serta Heryanti Samuri.

Produk inovasi Rosa yang berjaya memenangi pelbagai anugerah.
Produk inovasi Rosa yang berjaya memenangi pelbagai anugerah.

Projek itu katanya, mengambil masa selama lebih tiga bulan untuk disiapkan dan amat sesuai untuk dimanfaatkan industri perhotelan, bagi yang menitikberatkan wangian di dalam bilik untuk keselesaan pelanggan.

“Kelazimannya industri perhotelan akan mengutamakan kehendak tetamu dalam menjana pendapatan yang maksimum. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan tetamu VIP. Salah satu kaedah dalam menjana pendapatan adalah dengan menyediakan wangian bilik mengikut cita rasa tetamu.

“Kumpulan ini telah mengintegrasikan teknologi Industri 4.0 dalam hasil rekaan, di mana tetamu perlu mengimbas kod QR yang disediakan dan melengkapkan data yang dikehendaki dan seterusnya memuat turun aplikasi Rosa ke dalam telefon bimbit tetamu tersebut.

“Melalui penggunaan aplikasi Rosa, tetamu boleh memilih wangian mengikut cita rasa mereka. Hasil terciptanya Rosa, tahap kepuasan tetamu dapat ditingkatkan sehingga 80 peratus,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sebelum ini Rosa juga pernah dipertandingkan dalam Pertandingan Inovasi Pensyarah TVET (PERISA’19) peringkat kebangsaan kali ke-5 anjuran Kementerian Pendidikan dari 18 hinga 19 September lalu di Kolej Komuniti Selayang, Selangor dan memenangi pingat perak.

Selain itu, Rosa juga dipertandingkan di peringkat antarabangsa iaitu ‘International Innovation, Technology Exhibition & Conference’ 2019 (i-Tec’19) pada 24 hingga 25 September lalu di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kemaman dan berjaya memenangi pingat emas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!