Sindiket tipu pelaburan masuk 'jerat' polis
KLANG - Taktik sindiket penipuan yang kononnya menawarkan pelaburan dalam saham syarikat terbongkar selepas tertangkapnya 22 individu termasuk empat wanita di sebuah rumah di Ambang Botanic di sini kelmarin.
Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, tangkapan itu dibuat sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan menerusi Op Nuri kira-kira jam 6.30 petang hasil maklumat dan risikan.
Menurutnya, semakan mendapati kesemua tangkapan berusia lingkungan 18 hingga 36 tahun itu terdiri daripada tujuh warga China dan 15 warga tempatan.
"Polis telah merampas 69 unit telefon bimbit, 25 set komputer, dua unit router (penghala) dan 25 keping kad sim.
"Siasatan awal polis percaya mereka disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan saham dengan mencari pelabur-pelabur dari luar negara khususnya negara China bagi melabur dalam saham syarikat-syarikat yang ditentukan oleh ketua sindiket," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, polis percaya tangkapan salah seorang lelaki warga China berusia 34 tahun adalah berperanan sebagai penyelia.
Katanya, sindiket itu juga dikesan menjadikan kediaman terbabit sebagai 'calling centre' bagi mencari mangsa.
"Rumah tersebut disewa oleh sindiket dengan bayaran RM2,500 sebulan dan polis percaya sindiket ini aktif dengan beroperasi secara berpindah-randah bagi menyukarkan kegiatan dikesan pihak berkuasa.
"Siasatan awal mendapati, suspek warga tempatan diberi tawaran kerja melalui iklan di Facebook dengan tawaran gaji sebanyak RM1,500 sehingga RM2,500 sebulan.
"Siasatan masih dijalankan dan kesemua suspek kini direman dua hari untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!