Pas Pahang hantar petugas bantu calon BN
KUANTAN - Pas Pahang sudah menghantar petugas bagi membantu memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dari MCA, Datuk Wee Jeck Seng pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, bantuan petugas itu diberikan di atas semangat muafakat nasional antara Pas dan UMNO yang telah terjalin sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, petugas ke Tanjung Piai hari ini dan akan melaksanakan tugas mereka bermula pada hari ini sehingga PRK Tanjung Piai berakhir.
"Sebelum ini, kita pernah menghantar jentera kita untuk bertugas membantu calon DAP yang bertanding ketika dalam Pakatan Rakyat, kini Pas bersama dengan UMNO di dalam Muafakat Nasional atas sifat setiakawan dan kebersamaan, kita akan membantu dalam skala yang sesuai walaupun siapa juga yang bertanding.
"Sebagaimana PRK Cameron Highlands, kita membantu calon BN dengan melaksanakan kempen PRK secara berjadual yang akan diketuai oleh semua anggota Jawatan Kuasa Harian Badan Perhubungan Pas Negeri (BPPNP) dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seramai 8 orang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Ditanya berapa jumlah petugas yang akan menjalankan kempen pada PRK terbabit, Rosli berkata, jumlah itu masih belum dipastikan, bagaimanapun ia bergantung kepada keperluan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!