Chong Wei kembali jalani latihan

Lee Chong Wei
Lee Chong Wei
A
A
A

JAGUH badminton negara Datuk Lee Chong Wei kembali menjalani latihan pemulihan di gimnasium Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara pagi ini selepas lebih enam bulan ‘menggantung raket'

Ia merupakan penampilan kali pertama beliau bersama kem Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak beliau berehat daripada menjalani rawatan kanser hidung pada Julai lalu.

Chong Wei sebelum ini memberitahu beliau akan memulakan latihan lebih intensif pada Isnin ini.

Pada sesi latihan hari ini beliau tiba di BAM pada 8 pagi tadi ditemani dua jurulatih, Hendrawan dan bekas jurulatihnya, Datuk Tey Seu Bock.

Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali itu bagaimanapun enggan memberi reaksi kepada media.

Kali terakhir penampilannya adalah pada Kejohanan Terbuka Indonesia yang menyaksikan beliau tewas pada pusingan separuh akhir kepada Kento Momota dari Jepun pada Julai.

Kemudian pemain berusia 36 tahun itu menjadi tumpuan media apabila beliau menarik diri dalam dua kejohanan besar tahun lalu iaitu Kejohanan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia Indonesia kerana menghidap kanser hidung tahap satu.

Beliau kini telah disahkan sembuh sepenuhnya daripada penyakit itu selepas menjalani rawatan hampir empat bulan di Taiwan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek berkata beliau gembira melihat anak didiknya itu kembali bersemangat dan ceria menjalani pemulihan hari ini.

Jelasnya, BAM memberi kebebasan kepada Chong Wei untuk membuat keputusan mengenai latihan dan kejohanan yang akan disertainya pada tahun ini.

“Saya tidak mahu mengganggu penampilan beliau. Saya rasa belum masanya lagi untuk berbincang secara lanjut mengenai persiapannya. Apa yang saya lihat tadi dia datang untuk melakukan pemanasan badan di gimnasium sahaja,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!