Pesuruhjaya Pas Perlis dibenar keluar wad
KANGAR - Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli dibenarkan pulang ke rumahnya setelah beberapa minggu dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Ketua Penerangan Pas Perlis, Saifizi Saidon berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu juga masih perlu menjalani rawatan susulan dan memerlukan rehat secukupnya.
Menurutnya, Pas Perlis merakamkan jutaan ucapan terima kasih kepada para petugas di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar dan Hospital Tuanku Fauziah Kangar serta semua pihak atas perkhidmatan serta doa diberikan kepada Mohd Shukri.
Terdahulu, Mohd Shukri terjatuh dan tidak sedarkan diri ketika berucap pada satu Ceramah Perdana Muafakat Nasional Peringkat Negeri Perlis di Dewan 2020 pada 29 September lalu.
Mohd Shukri sebagai penceramah pertama yang baru saja memperkenalkan nama-nama penceramah lain tiba-tiba saja kelihatan seperti kurang bermaya dan gagal berdiri dengan stabil lalu rebah.
Beliau dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah Kangar sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk mendapatkan rawatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!