Sambal belacan Permaisuri Agong jadi bualan netizen
SHAH ALAM - Perkongsian gambar sambal belacan hasil air tangan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, semalam kini menjadi perbualan dalam kalangan netizen.
Gambar memaparkan dua balang penuh berisi sambal belacan dimuat naik oleh Tunku Azizah di laman Twitter milik baginda dengan kapsyen 'Sambal Belacan Azizah McQueen membuat air liur rakyat meleleh dibuatnya'.
Raja Permaisuri juga dalam ciapannya turut mendedahkan tahap kepedasan sambal belacan dihasilkan.
"Sambal (belacan) ini pedasnya seperti dinamit," tulis baginda di Twitter.
Perkongsian gambar tersebut kini tular di media sosial yang kini meraih 1,200 ulang kicau, 8,300 tanda suka sehingga pengguna alam maya mengakui kecur mulut melihat gambar sambal belacan tersebut.
"Setiap kali tweet sambal belacan tuanku lalu, setiap kali itulah terliur. Bilalah agaknya boleh rasa? Teringin sangat ini tuanku," tulis @ZooHaiRi.
@Lemanmahd berkata "Aduh tuanku, ini yang tak keruan ni tuanku. Tuanku buat saya terliur dan mengidam sangat nak makan sambal belacan tuanku. Isteri saya masa mengandung dulu mengidam belacan, kalaulah dia mengandung ketika ini, mahu dia mengidam sambal belacan tuanku.
Sementara itu, rata-rata netizen turut mengharapkan agar Raja Permaisuri mengkomersialkan sambal belacannya untuk memberi peluang rakyat merasa keenakan air tangan baginda.
"Bilalah saya dapat merasa masakan air tangan Raja Permaisuri kita ini. Kalau dapat merasa sambal belacan pun jadilah. Kalau balik Kuantan beritahulah tuanku. Saya tunggu tepi jalan pun tidak mengapa," kata @zatyechinew di Twitter.
Kata @ahmadadi, "Tuanku dah boleh dah komersialkan ini. Bagi peluang pada kami tuanku untuk merasa sambal belacan tuanku. Saya peminat sambal belacan. Bila tengok tuanku muat naik gambar belacan, asyik mengidam nak rasa sambal belacan Tuanku."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!