PATI baring dalam bot elak dicekup
KOTA TINGGI - Taktik lima warga Indonesia berbaring di dalam sebuah bot gentian kaca bagi mengelak dikesan pihak berkuasa ketika cuba menyusup keluar dari perairan negara di Tanjung Pengelih gagal apabila mereka ditahan, tengah malam tadi.
Pemangku Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, Superintendan Noor Azman Jamal berkata, dalam kejadian tersebut, bot dikemudi seorang tekong warga Indonesia berusia 42 tahun itu cuba melarikan diri dengan memecut ke pesisir pantai, namun berjaya dipintas kira-kira jam 12.15 tengah malam.
"Tekong warga Indonesia berumur 42 tahun ditahan bersama empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia berusia 22 hingga 34 tahun ketika cuba menyusup keluar melalui laluan yang tidak sah di perairan Tanjung Pengelih.
"Anggota PPM Wilayah 2 yang menaiki dua buah bot membuat pemeriksaan sebelum menemui kelima-lima pendatang asing tanpa izin sedang meniarap di dalam bot dipercayai bagi mengelak dikesan ketika melalui perairan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
Menurutnya, kegiatan penyeludupan migran melalui perairan menjadi fokus utama PPM Wilayah 2 dalam memerangi jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan migran, penyeludupan kontraban dan ancaman keselamatan negara.
"Melalui operasi berterusan, PPW Wilayah 2 komited ke arah memastikan perairan negara dan pesisir pantai tidak sewenang-wenangnya dibolosi.
"Kita menyeru masyarakat untuk bersama-sama membanteras kegiatan jenayah dan ancaman keselamatan negara dengan menyalurkan maklumat di talian 07-2372221 atau 07-2372222," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!