Henti beri zakat kepada perokok
SHAH ALAM - Pengagihan wang zakat tidak seharusnya meliputi golongan perokok walaupun mereka tergolong dalam kumpulan yang layak menerima bantuan berkenaan.
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow berpendapat, ini kerana dikhuatiri golongan perokok akan menyalahgunakan wang zakat untuk membeli rokok dan bukannya barangan keperluan untuk kelangsungan hidup.
“Walaupun pihak yang ingin menerima bantuan zakat tergolong dalam mana-mana kategori penerima zakat, sekiranya mereka adalah seorang perokok, sebarang bentuk bantuan zakat tidak seharusnya diberikan kepada mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berkenaan rokok pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa ‘merokok adalah haram daripada pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan’.
Menurutnya, pengharaman rokok terbabit dibuat berdasarkan tiga sebab utama iaitu merokok membahayakan kesihatan, mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekeliling serta alam sekitar dan perbuatan tersebut menjurus kepada pembaziran wang, masa dan tenaga serta merugikan pengguna.
Jelasnya, keputusan itu juga selaras dengan firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.
Malah katanya, walaupun sudah terdapat fatwa jelas dan undang-undang sedia ada dalam negara, ia juga masih belum mencukupi bagi membendung masalah berkaitan rokok khususnya masalah ketagihan merokok terutamanya dalam kalangan umat Islam.
Lebih menyedihkan katanya, masalah berkaitan rokok ini juga dilihat telah mula menular dalam kalangan golongan muda yang rata-ratanya masih lagi bersekolah.
“Oleh yang demikian, adalah penting supaya satu mesej yang keras dan jelas diberikan kepada semua pihak dalam negara kita termasuklah golongan penerima zakat supaya tidak terjebak dengan sikap merokok.
“Sekiranya golongan yang hendak mengambil wang zakat ini mampu membelanjakan wang mereka untuk membeli rokok yang makin hari makin mahal harganya, maka sudah pasti mereka tidak layak untuk menerima apa-apa jenis bantuan zakat daripada pihak pengurusan zakat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!