Muhyiddin nafi lima tahanan LTTE didera

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

PONTIAN – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan dakwaan berlakunya kejadian tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) didera dan diseksa sepanjang ditahan.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sudah menyemak dakwaan tersebut dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan pegawai terlibat dan mendapati dakwaan terbabit tidak benar.

“Bila mereka (tahanan) dibawa keluar dengan peguam mereka berhadapan dengan hakim dalam kamar dan sebagainya... tidak ada yang buat aduan mengatakan bahawa mereka dipukul dan sebagainya,” katanya yang ditemui pemberita selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas laporan portal yang mendakwa berlakunya kes lima daripada 12 tahanan SOSMA yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) didera dan diseksa.

Muhyiddin berkata, beliau tidak boleh menerima dakwaan itu ‘bulat-bulat’ dan siasatan terperinci mengenainya akan dilakukan selanjutnya oleh polis.

Menurutnya, sekiranya benar berlakunya kejadian seperti didakwa kelima-lima tahanan itu, maka, mereka berhak membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya.

“Tetapi setakat semalam saya diberi laporan (tiada penderaan). Sebab ada suara tuntut saya berhenti (letak jawatan) supaya saya bertanggungjawab, ya saya bertanggungjawab.

"Tetapi, jangan ambil tindakan hanya apabila seorang dua berkata begitu, dan buat andaian.

Artikel Berkaitan:

“Mesti siasat, sebab ini tuduhan yang berat. Saya tidak pandang ringan dan minta Ketua Polis Negara buat siasatan secara lebih terperinci,” katanya.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Nasib 12 individu terlibat LTTE ditentukan Mahkamah Tinggi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!