Jangan guna masjid untuk berkempen: Mujahid

Mujahid
Mujahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai diingatkan supaya tidak menjadikan masjid sebagai gelanggang politik dan tempat berkempen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, aktiviti politik yang sering kali membawa mesej negatif dan memecah belah boleh mencemarkan kesucian rumah ibadah umat Islam.

Katanya, larangan tersebut selari dengan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya masjid tidak dijadikan sebagai platform politik.

“Semua pihak boleh berpolitik semasa waktu kempen tapi (saya harap) jangan gunakan masjid untuk tujuan itu.

“Masjid adalah tempat ibadat dan semua (penyokong) parti akan datang di situ... jadi jangan rosakkan imej masjid,” katanya ketika ditemui pemberita pada Hari Terbuka Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Pada 16 Mei lalu, Sultan Ibrahim menitahkan, Majlis Agama Islam Negeri Johor mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pentadbir masjid yang menyediakan platform kepada ahli-ahli politik menjalankan aktiviti mereka di masjid.

PRK Tanjung Piai pada 16 November ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua calon Bebas.

Mujahid berkata, tahap perpaduan kaum di Malaysia kini dilihat semakin rapuh terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 berikutan ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab memainkan isu agama dan kaum tanpa melihat kepada fakta dan punca sebenarnya sesuatu perkara tercetus.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak boleh membalas kepada pihak-pihak ini dengan cara kasar atau keras kerana ia akan memburukkan lagi suasana.

“Kita (kerajaan) pilih jalan yang membawa mesej perpaduan dan keharmonian... itu lebih baik,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!