Pilih calon daripada parti yang mampu urus ekonomi negara, pesan Guan Eng

Guan Eng - Foto Bernama
Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Pengundi Parlimen Tanjung Piai diharap memilih calon Pilihan Raya Kecil (PRK) dari parti yang mampu menguruskan ekonomi negara termasuk kemampuan membayar gaji kakitangan kerajaan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang berkata, pihaknya turut mencabar mana-mana parti atau calon bebas bertanding pada PRK kelak bersaing secara sihat dengan berlawan berasaskan dasar-dasar parti dan bukan fitnah.

Menurutnya, persaingan atas kemampuan membuktikan parti mana lebih bersih daripada rasuah dan lebih berkemampuan menguruskan ekonomi negara adalah lebih baik berbanding persaingan dengan cara menabur tohmahan terhadap calon parti lawan.

"Bagi saya, biar kita lawan berdasarkan dasar-dasar (perjuangan parti) dan bukan fitnah, bukan berdasarkan tohmahan semata-mata. Biar juga kita banding parti mana yang bersih, parti mana yang cuba lawan rasuah.

"Mari bertanding juga berasaskan kemampuan menguruskan ekonomi. Parti mana yang mampu bayar gaji kakitangan kerajaan dan parti mana tidak mampu.

"Saya harap rakyat dapat buat satu keputusan bijak untuk anak-anak mereka," katanya kepada media di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, paling penting Pakatan Harapan (PH) berharap naratif politik dikemukakan setiap parti bertanding sepanjang perjalanan kempen PRK kali ini berdasarkan apa rakyat boleh dapat dari segi pembangunan dan keupayaan calon yang membawa perubahan kepada rakyat.

Menurutnya, pihaknya berharap rakyat sekali lagi memberi peluang kepada calon PH dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menang pada PRK kali ini bagi meneruskan kerja baik diusahakan bekas penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Pada pandangan kerajaan, inisiatif membawa peluang pekerjaan adalah paling penting.

"Menerusi belanjawan 2020, golongan pengundi muda di sini masih menganggur dan memerlukan pekerjaan akan mendapat inisiatif istimewa kerajaan iaitu inisiatif #Malaysiakerja di mana kerajaan memberi insentif gaji kepada mereka yang mendapat pekerjaan dengan gaji rendah dan majikan.

"Inisiatif ini diharapkan dapat mewujudkan 350,000 peluang pekerjaan dan peluang ini harus diambil pengundi muda dengan meneruskan kepercayaan terhadap kerajaan PH," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!