Beri peluang pada Gerakan: Wendy

Wendy Subramaniam bercakap pada sidang media di Bilik Gerakan PGRM hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Wendy Subramaniam bercakap pada sidang media di Bilik Gerakan PGRM hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN - Perjuangan parti yang tidak memilih bangsa adalah kekuatan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk memastikan kemenangan bagi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Calonnya, Wendy Subramaniam berkata, selain menjadi pengisian utama dalam kempennya, peluang ini juga adalah dapat menzahirkan bagaimana Gerakan mendedahkan sifat sebenarnya kepada rakyat.

"Kelebihan Gerakan berbanding parti yang ada pada PRK ini adalah kami terdiri daripada pelbagai jenis kaum dan mempunyai semangat rakyat Malaysia sebenar. Ia dilihat apabila ramai yang beranggapan Gerakan hanya dimonopoli kaum Cina sahaja.

"Hasrat kami adalah untuk membawa penyatuan kepada rakyat di kawasan ini, sekali gus boleh membawa perubahan kepada pembangunan sosio masyarakat," katanya pada sidang media di Pusat Operasi Gerakan PRK Tanjung Piai di sini hari ini.

Wendy berkata, pihaknya juga yakin PRK Tanjung Piai akan menjadi gelanggang terbaik buat rakyat di kawasan itu untuk menyatakan perasan tidak puas hatinya kepada pentadbiran kerajaan sedia ada.

“Walaupun PRK ini bukan untuk menukar kerajaan, kita mahu kerajaan sedar yang rakyat ada kuasa dan boleh membuat keputusan. Kita mahu sampaikan suara rakyat-rakyat yang tertindas seperti ini.

“Kita juga mahu rakyat tahu selain PH atau BN, mereka ada pilihan lain dan Gerakan boleh menjadi kuasa ketiga dalam PRK kali ini,” katanya.

Jelasnya lagi, tempoh PRU yang hanya tinggal beberapa tahun sahaja lagi juga bersesuaian sekiranya rakyat sudah muak dengan penguasaan dua parti besar di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Penduduk sudah berikan undi pada PH untuk PRU lalu, mereka juga pernah berikan kepada BN sebelum itu, mengapa tidak cuba pula Gerakan.

“Ia bukan tempoh yang lama untuk PRU akan datang, jadi saya rasa ini peluang terbaik untuk rakyat menilai dahulu kami pada PRK di Tanjung Piai,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!