Bas ekspres terbabas, 24 penumpang berdepan detik cemas
KUALA TERENGGANU - Seramai 24 penumpang sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila bas mereka yang dalam perjalanan ke Kota Baharu, Kelantan terbabas dalam kemalangan di Kampung Sungai Ikan, pagi tadi.
Bagaimanapun, kesemua mereka selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 pagi tadi ketika bas tersebut dalam perjalanan dari arah Gemuroh menghala ke Kota Bharu.
"Mengikut laporan yang kita terima, bas dipandu lelaki berusia 56 tahun dipercayai hilang kawalan kerana jalan basah dan licin ketika melalui kawasan selekoh di kawasan itu, lalu terbabas," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Abd Razak, bas itu mempunyai 24 penumpang dan seorang pemandu kedua dan mereka dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kota Bharu.
Katanya, kesemua penumpang selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka dipindahkan ke bas lain untuk ke Kota Bharu, Kelantan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!