Jentera PH diingatkan tidak leka, ambil mudah: Wan Azizah
PONTIAN - Jentera Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai diingatkan supaya tidak leka dan bersikap ambil mudah dalam usaha untuk memenangkan calon Pakatan Harapan (PH).
Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, jentera PH termasuk jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berusaha sedaya-upaya untuk memenangkan calon PH iaitu Karmaine Sardini.
“Kita memang mahu semua bersiap siaga sebab kita tahu bahawa tiap-tiap pilihan raya itu adalah satu ujian.
“Jangan ambil sambil lewa. Apapun, kita mestilah sedaya-upaya untuk memenangkan calon kita, calon PH Haji Karmaine,” katanya kepada pemberita di Pejabat PKR Cabang Tanjung Piai, di sini petang ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga berharap agar pengundi di Parlimen Tanjung Piai akan terus mengundi PH bagi menyambung legasi Ahli Parlimen yang terdahulu daripada PH.
“Kita merayu agar pengundi-pengundi kita mengundi PH Haji Karmaine sebab dulu wakil rakyatnya daripada PH. Kita pun cari pengganti supaya kita dapat teruskan agenda kita sebab saya katakan dulu peralihan adalah lebih baik dari dahulu,” kata Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan jentera PH serta keyakinan Barisan Nasional untuk memenangi PRK dengan meletakkan bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai dua penggal, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
Terdahulu, Dr Wan Azizah merasmikan pejabat cabang PKR Tanjung Piai.
Turut hadir Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Selain Jeck Seng, Karmaine juga ditentang Wendy Subramaniam (Parti Gerakan Rakyat Malaysia), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia) dan dua calon bebas iaitu pengasas pusat tuisyen, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, seorang ahli perniagaan yang mewakili Gabungan Teksi Se-Malaysia (GTSM), dalam pertandingan enam penjuru pada PRK Tanjung Piai.
Kerusi Parlimen Tanjung Piai sebelum ini disandang Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik dari PH yang memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan Jeck Seng (20,731 undi) dan calon Pas, Nordin Othman (2,962 undi) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan16 November sebagai hari mengundi manakala 12 November bagi pengundian awal.
PRK itu diadakan selepas Dr Md Farid, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!