PRK Tanjung Piai: Pertembungan ideologi baharu, rakan lama jadi seteru
PONTIAN - Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang bermula selepas selesai penamaan calon pagi tadi, menyaksikan pertembungan kemunculan ideologi politik baharu selain pertandingan antara rakan yang kini menjadi seteru politik atau sebaliknya sebelum boleh diangkat sebagai 'Yang Berhormat'.
Senario ini boleh mencetuskan pertandingan sihat bagi mencari siapa yang lebih hebat selain faktor latar belakang bagi menarik perhatian kira-kira 53,000 pengundi dalam kawan Parlimen Tanjung Piai.
Pentas PRK kali ini menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini; Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Barisan Nasional (BN)), Wendy Subramaniam (Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan)); Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa)) dan dua calon bebas iaitu pengasas pusat tuisyen Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, seorang ahli perniagaan yang mewakili mewakili Gabungan Teksi Se-Malaysia (GTSM).
Calon parti pemerintah, Karmaine Sardini, 66, yang merupakan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai menyifatkan pertandingan ini medan mengembalikan sokongan rakyat Tanjung Piai kepada kerajaan.
PRK ini merupakan pentas kedua bagi Karmaine, seorang arkitek dan imam masjid, untuk bertanding pada pilihan raya selepas pertama kali berbuat demikian apabila menjadi calon Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di kerusi Parlimen Pontian menentang Datuk Seri Ahmad Maslan (BN), namun tewas dengan undi majoriti 833 undi.
Persoalan yang bermain di bibir sesetengah masyarakat adalah faktor umur dan kredibiliti Karmaine untuk dipilih menjadi calon selepas tewas sebelum ini.
Seorang ahli jentera parti Bersatu yang hanya mahu dikenali sebagai Elmi berkata, Karmaine perlu bekerja keras memahat namanya di hati pengundi dan juga di bibir netizen jika ingin dipilih sebagai wakil rakyat.
Bagaimanapun, Karmaine masih mempunyai kekuatan untuk menarik pengundi, sokongan kerajaan sama ada di peringkat Pusat dan negeri yang dikuasai PH, satu kelebihan dalam aspek membawa pembangunan.
Parlimen Pontian dan Parlimen Tanjung Piai terletak dalam daerah Pontian, malah sebahagian daripada Pekan Pontian berada dalam Parlimen Pontian dan sebahagian lagi dalam Parlimen Tanjung Piai.
Di kem pembangkang pula, BN memilih Jeck Seng, yang merupakan bekas penyandang untuk kembali bertanding walaupun pernah tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafiq yang mewakili PH pada PRU14 tahun lepas.
Jeck Seng pernah dipilih sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada 2008 hingga 2018 dan sebelumnya merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, yang terletak dalam Parlimen Tanjung Piai pada 2004 hingga 2008.
Walaupun Jeck Seng dilabel sebagai 'calon recycle', Ahmad Maslan ketika ditemui Bernama berkata, BN yakin dengan pemilihan calon tersebut bagi melakar kejutan nanti.
PRK ini juga disifatkan luar biasa apabila bekas rakan komponen BN yang keluar daripada gabungan itu setelah kekalahan pada PRU14, parti Gerakan turut bertanding dengan meletakkan Timbalan Setiausaha Agung Nasionalnya, Wendy Subramaniam sebagai calon.
Persoalan yang berbangkit adalah kemampuan parti tersebut bergerak bersendirian tanpa bimbingan rakan-rakan BN selepas sama-sama menempuh pelbagai episod politik sejak sekian lamanya.
Geostrategis Azmi Hassan berkata, Gerakan memerlukan masa untuk berdiri gah sebagai parti bebas, sekali gus dilihat belum bersedia sepenuhnya untuk pertandingan kali ini.
Pertembungan ideologi turut membabitkan Berjasa yang akan meletakkan presidennya, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz sebagai calon dengan tindakan ini dibuat selepas mendakwa 'Islam dibuli' selepas lebih setahun PH memerintah dan calon BN pula dianggap langsung tidak membawa aspirasi Melayu-Islam.
Mengulas mengenai persaingan enam penjuru ini, veteran politik dan bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, ia medan menguji kertas litmus masing-masing sama ada boleh meraih perhatian pengundi dan sokongan, ditolak pengundi atau dilabel sekadar membuat bising yakni pengacau demi keseronokan sementara.
Kerusi Parlimen Tanjung Piai sebelum ini disandang Allahyarham Dr Md Farid yang pada PRU14, mewakili Bersatu memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan Jeck Seng (20,731 undi) dan calon Pas, Nordin Othman (2,962 undi).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan16 November sebagai hari mengundi manakala 12 November bagi pengundian awal.
PRK itu diadakan selepas Dr Md Farid, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!