Sabah beri kelonggaran urusan hantar PATI pulang

Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama
Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Negeri Sabah telah memberi kelulusan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kelonggaran penggunaan jenis kapal bagi menghantar pulang kesemua pendatang haram yang kini ditempatkan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di seluruh negeri ini, ke negara asal mereka.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada MKN supaya jenis kapal penghantar pendatang haram terbabit ke negara asal mereka dilonggarkan, asalkan ia selamat untuk digunakan.

“Antara penyebab (PTS di Sabah sesak) adalah masalah bot kapal yang diperlukan untuk menghantar mereka (pendatang haram) balik ke negara asal mereka.

"Kita mahu hantar mereka balik, itu pasti. Cuma bila dihantar itu bergantung kepada keadaan keselamatan dan kita sudah memberi kelulusan kepada MKN supaya jenis bot (menghantar pendatang haram) dilonggarkan asalkan ia selamat digunakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas isu keempat-empat PTS di Sabah yang ketika ini sesak dengan 7,200 tahanan pendatang haram dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Filipina dan China.

Empat PTS itu masing-masing terletak di Papar, Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Mohd Shafie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sabah berkata kerajaan negeri sememangnya berhasrat menghantar kesemua pendatang haram itu pulang ke negara asal mereka, namun faktor keselamatan di laut masih dititikberatkan berikutan cuaca tidak menentu ketika ini.

”Kita perlu juga menjaga dan bertimbang rasa. Bukan hantar begitu sahaja kerana ia melibatkan nyawa manusia meskipun mereka bukan rakyat kita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Pengarah MKN Sabah Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesesakan di PTS itu berlaku disebabkan kapal sepatutnya membawa pendatang haram terbabit bagi tujuan pengusiran kini dalam proses penyelenggaraan.

Proses penyelenggaraan itu akan selesai dan dijangka pada 10 November ini, kapal berkenaan beroperasi semula dengan membuat pelayaran ke perairan Sabah. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!