Wanita dikebumi dalam keranda jenama teh kegemaran
LEICESTER - Semasa hayatnya, seorang wanita di Leicester, England meminum sehingga 40 cawan teh sehari dan selepas meninggal dunia dia dikebumikan dalam keranda dengan jenama teh kegemarannya itu.
Sebelum Tina Watson menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung, dia tahu bagaimana dia ingin ditanam.
Menurut anak perempuannya, Debs Donovan, ibunya pernah memberitahu ingin mayatnya dikebumikan dalam keranda jenama Typhoo.
"Ketika kami berbual selepas kematian bapa tiri empat tahun lalu, dia memberitahu ingin diletakkan dalam keranda yang menyerupai kotak gergasi uncang teh dan dia serius dengan pilihannya itu," katanya.
Hasrat terakhir Watson direalisasikan oleh pengarah pengebumian, Paul Pender yang menyifatkannya sebagai satu permintaan luar biasa pernah diterimanya.
Watson pernah didiagnosis barah sebanyak dua kali dan kedua kakinya telah dibuang selepas digigit serangga di Sepanyol 14 tahun lalu.
"Ibu tidak pernah membiarkan apa-apa pun melemahkan semangatnya. Dia sering melihat sesuatu perkara itu daripada sudut positif walaupun sangat pahit," kata Donovan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!