Ketagihan media sosial sudah serius
MENURUT Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, sejumlah 50.4 peratus kanak-kanak di negara ini memiliki telefon pintar pada umur 12 tahun.
Manakala 78.8 peratus pengguna internet terutama kanak-kanak di Malaysia juga mengalami ketagihan Internet. Keadaan itu amat membimbangkan.
Data juga menunjukkan Malaysia menduduki tangga ketiga di belakang Filipina dan Hong Kong berkaitan kadar ketagihan internet.
Kajian oleh Psychology Department di Hong Kong University (HKU) menyatakan, ketagihan internet ada kaitan dengan faktor luar seperti pencemaran udara, kesesakan lalu lintas dan kepuasan hidup.
Kelekaan bersama media sosial merupakan escapism daripada berhadapan dengan masalah dalaman atau luaran masyarakat. Mungkin juga ia menjadi alasan untuk tidak melakukan aktiviti lain terutamanya kegilaan dalam permainan game online.
Laporan sebuah kajian Globalstat mendapati, lebih 72 peratus penggunaan media sosial di Malaysia antara pengguna tegar atau ketagihan media sosial terutama kebergantungan kepada telefon pintar. Media sosial yang paling kerap digunakan oleh rakyat Malaysia adalah 79 peratus Facebook, lima peratus Twitter, empat peratus YouTube dan tiga peratus Instagram.
Kajian itu menunjukkan bahawa masyarakat kita lebih ghairah dan obses dengan media sosial berbanding dengan negara maju. Ia bermakna dalam satu jam rakyat Malaysia akan sentiasa melihat atau mengintai telefon pintar mereka setiap 10 minit atau kurang.
Keadaan yang dahsyat lagi apabila pengguna media sosial melanggar peraturan, etika dan disiplin apabila sentiasa mencuri-curi melihat mesej melalui WhatsApp dan sebagainya semasa bermesyuarat, dalam kuliah atau semasa memandu.
Lebih ketara lagi apabila berada di restoran yang seolah-olah tidak boleh lekang dengan telefon pintar dan tidak peduli dengan orang sekeliling. Malah, dalam tempat ibadah sekali pun khatib mengingatkan agar mematikan telefon bimbit ketika berkhutbah. Namun masih lagi sentiasa 'bersama' telefon pintar.
Jadi pasif
Senario itu menjadikan rakyat Malaysia antara pengguna yang tertinggi ketagihan (addicted) dengan media sosial di dunia.
Ketagihan media sosial itu menunjukkan rakyat Malaysia kurang produktif dan pasif dan kurang melakukan aktiviti bersukan atau bersenam.
Ketagihan media sosial juga bukan sahaja melanda dalam kalangan remaja dan kanak-kanak sahaja tetapi menjadi gejala kepada mereka yang telah berusia.
Beberapa kajian menunjukkan bahawa mereka yang telah berumur 50 tahun kini juga lebih gemar melayan media sosial untuk memenuhi masa luang dan juga menjadi teman kesunyian.
Sesetengah golongan usia emas juga lebih leka dan alpa dan kurang bersosial kerana ada 'peneman' dengan menumpukan telefon untuk berhubung secara jarak jauh.
Ketagihan media sosial tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Kita tidak mahu rakyat Malaysia sudah menjadi warganegara yang tidak produktif dan kurang berinteraksi sesama manusia atau bergantung kepada internet yang mengundang banyak gejala pada masa akan datang.
Masyarakat kita mestilah menjadi pengguna yang celik media memahami dan mengamalkan penggunaan media sosial pada had tertentu. Perlu balik kepada keadaan azali dan lumrah kehidupan yang tahu membahagikan masa untuk diri sendiri, masyarakat sekeliling dan mengabadikan diri dengan Tuhannya.
Kita juga perlu memastikan sesuatu fakta atau maklumat yang kita terima perlu difikir, ditapis dan dikenal pasti kesahihannya.
Tidak semua maklumat dalam media sosial benar belaka. Kita perlu membuat keputusan setelah menimbang tara segala maklumat yang diperoleh dari segenap sudut.
Malah kita perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dengan permainan dan agenda tersirat segelintir kelompok yang menjadikan media sosial sebagai gelanggang menabur fitnah, menanam kebencian dan sengaja menjatuhkan individu, organisasi dan kelompok tertentu.
Namun, yang penting adalah kesedaran bahawa di tahap manakah kita sebagai penagih media sosial. Kita sebagai pengguna media mestilah cakna dan celik dalam mendisiplinkan diri sebagai pengguna yang berhemah.
* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!