Wakaf buku, infak ilmu
SEHEBAT mana seseorang manusia, tidak kira sama ada golongan bangsawan mempunyai mahligai serba indah mahupun rakyat biasa yang tinggal di rumah teres ataupun si gelandangan yang tidur di bawah jambatan, apabila mati, tiada apa yang dibawa ke alam seterusnya selain amal baik diterima sebagai ibadah.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati, putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain serta anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadis Riwayat Muslim).
Hadis itu menekankan kelebihan ilmu serta menggalakkan kita melakukan amalan yang membawa ganjaran berterusan walaupun selepas mati, seperti berwakaf. Ahli keluarga si mati digalakkan supaya bersegera bersedekah bagi pihaknya, sama ada daripada harta peninggalan si mati ataupun harta mereka sendiri.
Semua amal kebajikan dilakukan oleh seseorang akan terputus setelah ia meninggal dunia melainkan tiga perkara iaitu sedekah dengan niat kerana ALLAH, ilmu pengetahuan boleh dimanfaat diri sendiri dan orang lain dan anak-anak yang soleh/solehah yang beriman dan sentiasa mendoakannya.
Tidak semua orang dilahirkan dalam keluarga berada atau memiliki harta. Bagi mereka yang ada harta, mereka mungkin boleh mewakafkan kebun bersama hasil tanamannya untuk kebajikan umum atau mewakafkan sebidang tanah untuk dijadikan tapak masjid, surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya.
Ada juga yang memiliki rumah kedai yang disewakan. Golongan sebegini pula mungkin boleh mewakafkan rumah kedai tersebut kepada organisasi dakwah supaya dapat dimanfaatkan untuk kerja-kerja dakwah tanpa perlu organisasi terbabit meminta-minta daripada pelbagai pihak.
Bagi yang mempunyai kemampuan yang lebih, mereka malah boleh mendirikan hospital atau perpustakaan, mencetak al-Quran dan kitab-kitab Islam serta buku-buku pengetahuan yang berguna untuk masyarakat.
Amalan berwakaf dalam Islam telah bermula semenjak zaman Rasulullah SAW dan berkembang di negara-negara Islam hingga hari ini, malah ada negara yang membentuk Kementerian Wakaf.
Selagi harta benda yang diwakafkan itu masih wujud dan dinikmati faedahnya olah umum, tuan punya harta itu akan mendapat pahalanya secara berterusan walaupun ia sudah mati.
Bagi yang tidak memiliki harta tetapi ingin meraih pahala yang berterusan sehingga selepas meninggal dunia, mereka boleh membuat wakaf tunai seperti yang ditawarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan beberapa majlis agama Islam negeri yang lain.
Dana wakaf yang dikumpul dalam satu tabung wakaf kemudiannya ditukar kepada harta kekal yang akan dimanfaatkan untuk kebajikan dan kepentingan masyarakat.
Pada masa ini, Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) cawangan Kelantan juga ada melaksanakan kempen Wakaf Buku, Infak Ilmu yang dimulakan dengan buku bertajuk Islam Rahmat untuk Semua untuk diletakkan di hospital kerajaan seperti di farmasi tempat pesakit menunggu mendapatkan ubat serta pejabat agensi kerajaan yang mempunyai kaunter untuk ahli masyarakat berurusan dengan mereka.
Selain daripada bahan bacaan sedia ada, buku-buku agama atau keilmuan juga dapat dibaca para pelawat sementara menunggu urusan mereka selesai.
Cuba bayangkan jika kita wakafkan lima naskhah buku di Farmasi Hospital USM, Kubang Kerian sebagai contoh yang kebiasaannya menempatkan lebih kurang 200 pesakit yang menunggu untuk mendapatkan ubat pada waktu puncak. Lima naskhah buku itu mampu memberi manfaat kepada begitu ramai ahli masyarakat.
Selagi buku-buku itu terus dibaca, selama itulah pahala dan manfaat turut dinikmati oleh mereka yang mewakafkannya, baik ketika hidup mahupun selepas meninggal dunia.
Semoga umat Islam berlumba-lumba menjadikan amalan berwakaf sebagai salah satu cara memperbanyakkan amal soleh bagi meraih ganjaran pahala sedekah jariah yang tidak putus-putus daripada ALLAH SWT.
* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!