Yamani Hafez dijangka angkat sumpah Isnin di Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa dijadualkan mengangkat sumpah di Dewan Rakyat pada Isnin ini sebelum tempoh ditetapkan kepadanya untuk berbuat demikian tamat pada 15 Januari.
Menurut satu jemputan media dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen, Yamani Hafez dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di Kamar Khas Dewan Rakyat pada pukul 10 pagi.
Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Ariff Md Yusof berkata, pihaknya akan mengeluarkan surat peringatan terakhir kepada Yamani Hafez untuk tampil mengangkat sumpah segera atau berdepan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen berdasarkan Perkara 59 Perlembagaan.
Mohd Ariff berkata, Dewan Rakyat sebelum ini menolak permintaan Yamani Hafez untuk mengangkat sumpah melalui sidang video kerana tiada peruntukan yang membolehkan kaedah itu dilaksanakan.
Beliau turut berkata, beberapa surat peringatan sudah dihantar kepada Yamani Hafez yang merupakan anak kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman itu namun tiada balasan diterima.
Yamani Hafez, 39, yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Sabah berjaya memenangi kerusi tersebut pada PRU14 yang diadakan 9 Mei tahun lalu.
Beliau berjaya menewaskan calon Warisan, Noor Hayaty Mustapha dan Dayang Aezzy Liman daripada Parti Harapan Rakyat dengan majoriti 852.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!