Budak lelaki rentung terperangkap dalam rumah
KOTA KINABALU - Seorang kanak-kanak lelaki rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Melisau, Tanghilan dekat sini hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata, Joshua Patrick, 4, ditemui rentung di dalam di rumah berkenaan dipercayai terperangkap ketika kebakaran berlaku.
Kenyataan itu menyebut JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 5.06 pagi sebelum dua buah jentera bersama 10 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Dua individu iaitu seorang kanak-kanak berusia enam tahun dan seorang wanita warga emas berusia 64 tahun turut melecur akibat kebakaran itu," jelas kenyataan itu.
Mangsa yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Tuaran untuk menerima rawatan manakala mayat mangsa pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!