Liverpool nyaris diaibkan Aston Villa

Robertson (kiri) menjaringkan gol penyamaan buat Liverpool ketika bertemu Aston Villa di Villa Park pada aksi EPL semalam.
Robertson (kiri) menjaringkan gol penyamaan buat Liverpool ketika bertemu Aston Villa di Villa Park pada aksi EPL semalam.
A
A
A

PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp mengakui perlawanan menentang Aston Villa berjalan lancar, namun pasukannya masih kurang cekap dalam menyelesaikan beberapa situasi dengan baik.

The Reds terpaksa bergelut sehingga ke masa tambahan sebelum melakarkan kemenangan 2-1 ke atas The Lions dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park, malam tadi.

Pada pertemuan itu, tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Mahmoud Hassan pada minit ke-21 sebelum Andrew Robertson menyamakan kedudukan tiga minit sebelum perlawanan sebenar berakhir.

Begitupun, Sadio Mane berjaya mengubah kedudukan dengan mengunci kemenangan buat The Reds pada minit ke-93 sekali gus menyaksikan kejayaan itu cukup penting buat Liverpool sebelum menanti kunjungan Manchester City di Anfield minggu depan.

Kemenangan itu secara tidak langsung mengurungkan tekanan buat The Reds yang kini kekal berada di puncak liga dengan kelebihan enam mata di depan City selepas mengharungi 11 perlawanan.

Mengulas pertemuan dengan The Lions, Klopp berkata terdapat kesilapan dalam pendekatan permainan yang dipamerkan anak buahnya sehingga membuatkan mereka sukar untuk mencari gol khususnya pada babak pertama.

Katanya, para pemainnya gagal untuk memaksimumkan peluang yang dimiliki sehingga menyebabkan situasi (menjaringkan gol) tampak lebih sukar.

"Kami mempunyai beberapa peluang yang sangat baik dalam perlawanan, tetapi ia tidak cukup tajam, terutama pada babak pertama. Saya tidak pasti kami boleh memenangi setiap perlawanan sekiranya situasi ini terus berlarutan, tetapi saya tidak pernah berputus asa.

Artikel Berkaitan:

"Jadi apabila kami menjaringkan gol penyamaan, saya fikir 'itulah yang kami layak'. Kami tahu kami boleh melakukan yang lebih baik, tetapi pada hari-hari seperti ini, anda hanya perlu bersedia untuk sebarang keputusan dan terus berjuang.

"Apabila anda bermain di stadium seperti Villa Park, ia hanya semulajadi bahawa anda mendapat sedikit tekanan. Selepas babak pertama, kami menyedari kami berada di landasan yang salah dan kami segera membuat perubahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!