Penjawat awam ditahan simpan kuku, taring harimau belang
KOTA BHARU - Seorang penjawat awam ditahan bersama bahagian tubuh seekor harimau belang terdiri daripada kulit, kulit kepala, gigi dan sepasang taring haiwan liar itu di rumahnya di Kampung Lubuk Bunut, Perol, Nilam Puri di sini semalam.
Lelaki berusia 52 tahun itu ditahan ketika serbuan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan kira-kira jam 12.30 tengah malam dalam Op Khazanah susulan penahanan dua lelaki lain pada 26 Oktober lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kedua-dua lelaki berkenaan sebelum itu ditahan bersama rampasan gading dan gigi gajah menerusi operasi sama di Pasir Mas dan Tumpat.
"Serbuan kedua dilakukan dan hasil pemeriksaan kita menemui bahagian harimau yang sudah dikeringkan di dalam rumah lelaki terbabit.
“Turut ditemui satu kuku dan sepasang gigi taring dipercayai daripada seekor harimau belang yang diburu secara haram,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Khas dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Kelantan di IPK di sini hari ini.
Terdahulu, Hasanuddin menyaksikan serah terima tugas Ketua Cawangan Khas, Asisten Komisioner Daud Omar kepada Asisten Komisioner Jalaluddin Hamid serta Pemangku Ketua JSPT, Deputi Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman kepada Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi.
Menurutnya, siasatan masih dilakukan namun pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek memiliki bahagian tubuh haiwan itu bertujuan untuk kegunaan sendiri.
“Hidupan liar ini dilindungi sepenuhnya dan perbuatan menyimpan karkas haiwan tersebut adalah satu kesalahan serius.
“Suspek dan karkas harimau belang ini diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Kelantan untuk tindakan undang-undang selanjutnya dan kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya.
Dalam pada itu, Hasanuddin memberi amaran kepada penduduk di negeri ini supaya tidak menyalahi undang-undang dengan menodai khazanah negara dan memburu hidupan liar yang dilindungi mahupun menyimpan anggota badan haiwan.
“Saya menyeru kepada mereka yang tinggal di negeri ini, sekiranya mendapati mana-mana pihak menyimpan khazanah hutan sekitar rumah masing-masing supaya menyalurkan kepada polis,” katanya.
Akhbar pada Rabu lalu melaporkan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mendedahkan golongan orang kenamaan atau VVIP antara yang dikesan terlibat dengan aktiviti pemburuan haram di Taman Negara.
Mereka dipercayai menjadikan aktiviti haram itu sebagai hobi dan turut melibatkan berbelas sindiket terbabit dalam aktiviti pemburuan haiwan liar tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!