15 minit tersepit dalam bas

Lima cedera apabila bas ekspres dari Kelantan terbabas di Jalan Lunas - Karangan, Kulim. - Foto Ihsan Bomba
Lima cedera apabila bas ekspres dari Kelantan terbabas di Jalan Lunas - Karangan, Kulim. - Foto Ihsan Bomba
A
A
A

KULIM - Lima penumpang sebuah bas ekspres cedera ringan termasuk seorang tersepit selepas bas dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Lunas - Karangan berhampiran Kilang Inokom di sini hari ini.

Dalam kemalangan berlaku kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa hanya dapat diselamatkan dalam tempoh 15 minit selepas pasukan bomba tiba sebaik sahaja menerima panggilan jam 5.42 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, bas dinaiki mangsa membawa 26 penumpang dipercayai dalam perjalanan ke Pulau Pinang.

"Terdapat seramai 26 penumpang dan dua orang pemandu berusia 32 dan 38 tahun. Seramai lima orang cedera manakala pemandu lori berusia 39 tahun tidak mengalami kecederaan.

Lori membawa muatan makanan kering terbalik selepas berlanggar bas ekspres dinaiki 26 penumpang. - Foto Ihsan Bomba
Lori membawa muatan makanan kering terbalik selepas berlanggar bas ekspres dinaiki 26 penumpang. - Foto Ihsan Bomba

"Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kulim menaiki ambulans termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi tersebut diketuai Pegawai Bomba Mohd Firdaus Amhmad Jalal bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech dan BBP Kulim.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Nor berkata, bas berkenaan dipandu dari Kelantan menuju ke Pulau Pinang melalui Jalan Kulim - Baling.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu bas gagal mengawal kenderaan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

"Bas itu kemudian merempuh sebuah lori dari arah Kulim yang membawa muatan makanan kering. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!