Jual beli ikan tengah laut
KUALA TERENGGANU - Penahanan sebuah bot kargo nelayan Vietnam di perairan Terengganu kelmarin berjaya membongkarkan taktik nelayan asing yang menjalankan urusniaga hasil tangkapan di tengah laut untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot kargo asing itu ditahan kapal Maritim KM Segantang menerusi rondaan Op Naga di 43 batu nautika dari muara Kuala Terengganu di sini kira-kira jam 2.57 petang Sabtu lalu.
Menurutnya, bot kargo berkenaan ditahan selepas didapati memiliki dokumen meragukan dan 15 awak-awak termasuk seorang tekong berusia antara 31 hingga 49 tahun tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.
"Kita syak bot kargo itu sedang menunggu untuk memungut hasil laut daripada bot nelayan negara mereka yang lain kerana semasa ditahan kita menemukan lebih kurang lima tan ikan di dalamnya sedangkan bot kargo itu tidak melakukan aktiviti menangkap ikan.
"Selain itu turut dijumpai lebih kurang 2,000 liter minyak diesel. Kesemuanya dirampas termasuk hasil tangkapan laut, bot dan peralatan menangkap ikan yang bernilai hampir RM1 juta," katanya pada sidang akhbar di pejabat APMM Terengganu di sini hari ini.
Rashidilhadi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bot kargo tersebut bersubahat dengan bot nelayan lain untuk membeli hasil ikan dan menjalankan urusniaga jual beli di tengah laut sebelum membawanya pulang ke negara mereka.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen Akta Perikanan 1985 kerana disyaki memalsukan dokumen bot serta gagal melaporkan kargo yang dibawa dan Akta Imigresen kerana awak-awak dan tekong tidak memiliki dokumen sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!