Hafizh Syahrin tekad kembali semula ke MotoGP

Hafizh Syahrin bergambar sebelum beraksi pada perlumbaan Shell Malaysia MotoGP 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini. FOTO: BERNAMA
Hafizh Syahrin bergambar sebelum beraksi pada perlumbaan Shell Malaysia MotoGP 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini. FOTO: BERNAMA
A
A
A

SEPANG - Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui sedih untuk meninggalkan perlumbaan MotoGP musim depan dengan kedudukan 10 terbaik pada Grand Prix (GP) Malaysia tahun lalu menjadi kenangan indah buat pelumba pasukan Red Bull KTM Tech3.

Pada penampilan terakhir kelas MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini, Hafizh menamatkan saingan GP Malaysia 2019 di tempat ke-16.

Selepas dua musim bersaing di kelas elit itu, pelumba itu akan 'turun pangkat’ apabila kembali beraksi dalam kelas Moto2 tahun depan bersama pasukan baharu.

“Saya rindu momen berada dalam kelompok 10 terbaik di saingan GP Malaysia musim lepas. Itu adalah yang saya paling akan saya ingat. Saya akui agak sedih untuk meninggalkan perlumbaan MotoGP.

“Namun saya akan lakukan yang terbaik dalam saingan Moto2 musim depan agar dapat kembali beraksi di MotoGP tahun berikutnya.

“Saya kena beri saingan terbaik bagi musim 2020 bagi membolehkan impian ini tercapai. Jika ada rezeki, saya mahu kembali lagi,” katanya kepada media hari ini selepas menamatkan saingan dengan catatan masa 40 minit 59.051 saat (s).

Pelumba kelahiran Ampang, Selangor, itu mengakui akan merindui kenangan bersama pasukan MotoGP bagi tempoh dua musim iaitu Monster Yamaha Tech3 (2018) dan Red Bull KTM Tech 3 (2019) atas pengalaman yang cukup bermakna baginya.

Beliau akan kembali berlumba dalam kelas Moto2 pada musim MotoGP Dunia 2020 bersama pasukan Angel Nieto. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!