10,500 anggota bomba siap sedia hadapi gelombang banjir kedua
KUALA KUBU BAHRU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap siaga menggerakkan 10,500 anggota serta pegawai bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir dan banjir kilat berikutan peralihan Monsun Timur Laut.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, seramai 400 pasukan bomba sukarela seluruh negara juga akan dikerahkan bagi membantu mangsa banjir di kawasan berdekatan bencana itu.
Menurutnya, gelombang pertama akibat peralihan monsun berlaku di enam negeri pada minggu lepas iaitu Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kedah dan Johor.
“Kami sentiasa bersedia menghadapi gelombang kedua yang dijangka berlaku di bahagian pantai timur negara dengan persiapan dari segi persediaan logistik iaitu pengangkutan air, operasi mencari dan menyelamat serta pesawat udara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan pertandingan Firefighters and Rescue Exercise Challenge (Farex) 2019 di sini hari ini.
Katanya, latihan pengurusan banjir serta bencana bersama ketua masyarakat setempat turut dilaksanakan bagi menghadapi kemungkinan itu.
Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, pertandingan Farex adalah inisiatif jabatan berkenaan bagi menilai tahap kompetensi dan kecekapan anggota dalam bidang tugas kebombaan dan penyelamatan.
Menurutnya, seramai 176 pegawai dan anggota bomba dari seluruh negara yang mewakili kontinjen negeri masing-masing menyertai pertandingan yang pertama kali dianjurkan itu.
“Pertandingan ini dapat meningkatkan lagi semangat kerjasama dan persefahaman dalam kalangan anggota selain dapat meningkatkan daya saing dan ketahanan diri bagi menghadapi cabaran semasa tugasan di lapangan,” katanya.
Kontinjen Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang muncul juara keseluruhan pertandingan itu yang membabitkan enam acara termasuk ‘rescue challenge’ dan ‘warrior challenge’. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!