Negeri Sembilan Antlers kekalkan momentum kemenangan
NEGERI SEMBILAN Antlers melabuhkan tirai saingan Liga Premier Sepak Takraw League (STL) 2019 dengan momentum kemenangan apabila menewaskan Kuala Lumpur Thunder pada aksi minggu kelapan di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini.
Tampil rentak kemenangan dalam dua perlawanan sebelum ini Negeri Sembilan Antlers bagaimanapun tewas pada set pertama 11-21 sebelum bangkit mempamerkan karakter sebenar apabila bangkit untuk menang 21-18 dan 21-12 pada dua set seterusnya.
Biarpun begitu kemenangan itu gagal menempatkan Negeri Sembilan Antlers dalam kelompok pasukan ke saingan STL Champions Cup yang akan berlangsung di Pinewood Iskandar Malaysia Studio, Johor bermula pada 22 hingga 28 Disember depan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans), Wan Mohd Husni Abdullah berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi dipamerkan pemain-pemain Negeri Sembilan Antlers pada saingan musim ini.
"Alhamdulillah, matlamat pasukan untuk kekal pada saingan Liga Premier STL musim depan tercapai dengan komitmen dan semangat juang dipamerkan pemain-pemain pada musim ini.
"Pemain-pemain berjaya membuktikan kemampuan sebenar Negeri Sembilan Antlers biarpun tampil dengan status pasukan baharu saingan musim ini.
"Kita pun berjaya mengekalkan momentum kemenangan dalam dua perlawanan sebelum ini apabila mengakhiri saingan minggu ini dengan kemenangan ketiga," katanya.
Negeri Sembilan Antlers memulakan saingan minggu ini dengan menewaskan Sabah Mountaineers 2-0 (21-10, 21-7) diikuti kejutan ke atas penyandang juara, Penang Black Panthers 2-1 (21-13, 17-21, 21-14) dan kemenangan ke atas Kuala Lumpur Thunder.
Sementara itu dalam satu lagi aksi Johor Tigris menewaskan Kelantan Warriors 2-0 (21-114, 21-14).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!