Uptown jadi bazaria, penduduk tetap tak ceria
SETELAH lebih 10 tahun pelbagai aduan penduduk disuarakan, akhirnya pasar malam yang beroperasi hingga jam 3 ke 4 pagi itu diarah berpindah mulai 1 November lalu.
Itulah nasib Uptown Danau Kota di Kuala Lumpur yang mencetuskan pelbagai kontroversi sebelum ini. Penduduk dan pengusaha stesen minyak berhampiran di situ yang sudah lama menahan sabar tentu ada sebabnya.
Bagi penduduk, lokasinya di kawasan kediaman bukan sahaja mengganggu kelancaran lalu lintas, tetapi juga menimbulkan kebisingan berpanjangan sehingga dinihari. Pembuangan sampah sarap di merata tempat pun satu lagi masalah yang menjijikkan.
Paling bahaya, ada peniaga yang sanggup menggadai nyawa memasak di tepi stesen minyak. Ia bagaikan bom jangka. Jika berlaku letupan, satu bencana yang dahsyat pasti berlaku. Pihak bomba sudah memberi amaran mengenainya.
Malangnya, keputusan pindah ke lokasi baharu masih belum cukup menggembirakan peniaga dan penduduk. Biarpun nama bertukar menjadi bazaria, jarak antara kawasan lama dengan yang baharu hanyalah dipisahkan oleh sebatang jalan sahaja.
Maka tidak hairanlah ada penduduk begitu marah dengan keputusan yang dibuat pihak berkuasa, lebih-lebih lagi penduduk yang tinggal di lokasi baharu itu.
Kini tapak bazaria itu yang merupakan loji kumbahan sebelum ini, telah menyediakan gerai yang lebih banyak untuk peniaga-peniaga kecil mencari rezeki di sana. Ia dilihat lebih tersusun dan kawasannya lebih luas.
Tetapi apa yang Merak Jalanan dapati rupa-rupanya masih ada segelintir peniaga yang masih enggan berpindah ke lokasi baharu itu.
Merak Jalanan menghargai kesungguhan pihak berkuasa menangani masalah pemindahan Uptown Danau Kota ini.
Selain berjaya memindahkannya ke lokasi baharu, gejala peniaga yang mengaut untung atas angin juga dapat diselesaikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!